Suruhanjaya Tinggi Bangladesh menafikan yang negara itu mengancam untuk menghentikan penghantaran tenaga kerja ke Malaysia jika perjanjian sedia ada antara kedua-dua negara tidak dipinda.
Penafian ini dibuat susulan laporan Malaysiakini mengenai kenyataan seorang penasihat kepada Kementerian Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh.
https://www.malaysiakini.com/news/748017
Dalam artikel yang diterbitkan pada Khamis — yang memetik laporan laman berita Bangladesh — Asif Nazrul dilaporkan menyifatkan perjanjian sedia ada sebagai “sindiket” yang dibantah banyak pihak.
Katanya, untuk membanteras sistem sindiket tersebut, perjanjian itu perlu dipinda.
"Jika Malaysia enggan meminda perjanjian itu, kami berdepan dua pilihan - sama ada meneruskan penghantaran pekerja melalui 25, 50, atau 100 agensi yang dicadangkan, atau tidak menghantar pekerja langsung,” katanya seperti dipetik media Bangladesh, Banglatribune.com.
"Jika saya membenarkan pengambilan melalui ‘’sindiket’, saya akan dituduh menyokongnya. Tetapi, jika kita tidak menghantar sesiapa, 40,000 pekerja boleh kehilangan peluang dan memberi kesan kepada hampir 100,000 keluarga," kata Asif lagi.
Hanya pandangan Asif
Dalam kenyataan hari ini, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia menegaskan kenyataan Asif tidak membawa maksud ancaman untuk membekukan penghantaran tenaga kerja atau menuntut agar perjanjian itu dipinda.
“Asif, ketika bercakap dalam satu seminar... hanya menyuarakan pandangannya terhadap Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai Penggajian Pekerja Bangladesh sedia ada, yang membenarkan Malaysia memilih sejumlah agensi pengambilan daripada senarai yang disediakan oleh Bangladesh.
“Berdasarkan permintaan yang semakin meningkat di Bangladesh untuk membuka pasaran kepada semua agensi pengambilan, penasihat tersebut (Asif) berpendapat bahawa selagi MOU sedia ada tidak dipinda, pemilihan agensi pengambilan akan terus kekal di bawah bidang kuasa Malaysia,” katanya.
Suruhanjaya Tinggi Bangladesh berkata laporan yang memetik kenyataan Asif sebagai satu ancaman untuk menghentikan penghantaran pekerja telah mengelirukan pembaca dan menjejaskan rundingan yang sedang berlangsung antara Malaysia dan Bangladesh untuk memastikan sistem pengambilan yang adil, telus, beretika dan tiada diskriminasi.
Kementerian Sumber Manusia Malaysia menandatangani perjanjian dengan Bangladesh pada Disember 2021, selepas perjanjian terdahulu tamat pada Februari 2020, dengan terma baru berkuat kuasa sehingga Disember 2026.
Sebelum perjanjian itu ditandatangani, kedua-dua negara menyuarakan hasrat untuk menghapuskan sistem “sindiket” yang melibatkan senarai terpilih agensi yang mengendalikan proses pengambilan pekerja — satu amalan yang dikaitkan dengan peningkatan kos dan pelbagai kejanggalan.
Namun, Persatuan Agensi Pengambilan Antarabangsa Bangladesh (Baira) membangkitkan kebimbangan berkenaannya dan menuntut peluang sama rata kepada kesemua kira-kira 1,600 ahlinya untuk menyertai proses penghantaran pekerja ke Malaysia.
Di bawah perjanjian itu, Malaysia mencadangkan senarai 25 ejen pengambilan dari Bangladesh dan 250 sub-agen. Namun, cadangan itu dilaporkan ditolak oleh Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh ketika itu, Imran Ahmed.
Imran ditahan
Pada 23 Oktober tahun lalu, polis Bangladesh menahan Imran, yang dikaitkan dalam siasatan berskala besar terhadap agensi tenaga kerja yang menghantar pekerja ke Malaysia.
Menurut laporan media, Imran ditahan oleh polis Dhaka, namun pihak berkuasa enggan mendedahkan sebab penahanannya.
Pada September lalu, The Business Standard melaporkan pemilik sebuah agensi pengambilan tenaga kerja telah membuat laporan polis terhadap 103 individu, termasuk Imran, atas dakwaan terlibat dalam sindiket yang mengeksploitasi rakyat Bangladesh yang ingin bekerja di Malaysia.
Laporan itu mendakwa berlaku rasuah dan pemerdagangan manusia yang berkaitan dengan proses pengambilan pekerja, yang dijalankan oleh agensi-agensi yang dipilih menerusi perjanjian antara kedua-dua kerajaan.