Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno Pahang dakwa Adun guna peruntukan untuk Pasti

Pemuda Umno Pahang mempersoalkan tindakan sesetengah Adun PAS kerana didakwanya menggunakan peruntukan pembangunan kawasan – berjumlah RM60,000 – untuk melaksanakan kerja naik taraf Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti).

Menerusi satu video di platform TikTok dengan akaun Malaysia Forward, ketuanya Mohd Kamil Ibrahim, berkata sebahagian Adun terbabit malah tidak mengagihkan peruntukan tersebut kepada pihak lain.

"Empat Pasti itu menerima RM15,000 (setiap satu), bagaimana dengan orang lain pulak... orang lain tak terima," katanya.

Berdasarkan video pendek itu itu, empat Pasti dalam kawasan DUN Jengka didakwa menerima peruntukan iaitu Pasti Jengka 11; Pasti An-Nur Hakim, Jengka 19; Pasti Mujtahid, Jengka 14 dan Pasti Az-Zahrah, Jengka 18.

Dalam video berdurasi 1 minit 18 saat itu juga, Mohd Kamil mengulas dakwaan pembangkang Pahang – khususnya PAS – kononnya penyokong parti berkenaan tidak menerima sebarang bantuan daripada kerajaan negeri.

"Saya pelik apabila dia (pembangkang) kata peruntukan ini tidak diterima oleh orang PAS,” katanya.

Di Padang Tengku, dakwa Mohd Kamil, Adun di situ memberikan dua Rumah Rakyat Pahang (RRP) kepada orang PAS dengan setiap satu di Kampung Gua dan di Merapoh.

Sebagai maklumat, DUN Padang Tengku berada dalam kawasan parlimen Lipis dan projek RRP adalah antara inisiatif kerajaan Pahang yang menyediakan rumah percuma bernilai RM75,000 kepada penduduk yang layak.

Sementara itu dalam reaksi balas terhadap video Mohd Kamil itu, Adun Jengka, Shahril Azman Abd Halim, memberitahu Malaysiakini bahawa perkara dibangkitkan Pemuda Umno Pahang itu tidak berasas.

Katanya, tidak ada sebarang salah laku dibuat oleh pihaknya tetapi sengaja dijadikan isu pleh Pemuda Umno Pahang.

Projek tersebut, kata Shahril Azman, bukan diluluskan oleh Adun.

"Yang meluluskan projek ialah pihak majlis (daerah) melalui PLB (pembangunan luar bandar)," jelasnya.

Dia turut memberitahu, semua projek yang diluluskan dan dilaksanakan akan dipantau pihak berkuasa tempatan.

Enggan mengulas lebih lanjut, Shahril Azman malah menganggap dakwaan dibuat Mohd Kamil itu menunjukkan ketua Pemuda Umno terbabit tidak faham undang-undang di Pahang.

Untuk rekod, semua Adun pembangkang di Pahang tidak menerima peruntukan secara terus daripada kerajaan negeri walaupun perkara itu pernah ditegur Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah pada Mei tahun lalu.

Dalam ucapan tersebut Tengku Hassanal dilaporkan berkata, kerajaan Pahang perlu memberikan peruntukan adil kepada Adun pembangkang di negeri itu kerana mereka juga dipilih oleh rakyat.

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, memaklumkan semua Adun – termasuk pembangkang – memang menerima peruntukan daripada kerajaan negeri yang disalurkan ke kawasan masing-masing melalui pejabat daerah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS