Sebuah galeri khas akan diwujudkan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) dan dinamakan sempena bekas pelajarnya, Allahyarham Nurly Sahirah Azman, yang terkorban dalam kemalangan tragik di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik, Perak, bulan lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar, berkata Galeri Nurly Sahirah itu akan ditempatkan di bangunan baru fakulti Upsi iaitu Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (I-Furqan) yang dijangka siap pada awal 2027.
“Galeri ini diwujudkan sebagai penghargaan Upsi kepada pelajar cemerlang ini yang diketahui meninggal dunia dalam keadaan memeluk erat al-Quran.
“Jika diizinkan oleh kedua ibu bapanya, pihak universiti akan menempatkan mushaf al-Quran yang ditulis sendiri oleh Allahyarhamah, selain koleksi mushaf lain.
“Galeri ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada para huffaz untuk menghafal al-Quran melalui penulisan sendiri,” katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi keluarga Nurly Sahirah di Kampung Gong Pasir, Kerandang, dekat Jertih, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata galeri tersebut bukan saja akan mempamerkan mushaf tulisan tangan Nurly Sahirah, malah menempatkan koleksi mushaf al-Quran dan kitab-kitab agama sebagai rujukan pelajar serta pihak berkepentingan.
Dia turut menyeru orang ramai, termasuk pihak swasta, agar tampil menyumbang secara wakaf bagi memperkukuh pelaksanaan penubuhan galeri berkenaan.
Sementara itu, Mohd Na’im mengajak masyarakat, khususnya golongan muda, supaya mengambil iktibar dan mencontohi akhlak serta kecintaan Allahyarhamah terhadap al-Quran.
Nurly Sahirah, 23, merupakan antara 15 penuntut Upsi yang terkorban dalam nahas pada awal pagi 9 Jun lalu apabila bas sewa khas dari Jertih yang membawa mereka pulang ke kampus utama di Tanjung Malim terbabas dan terbalik.
Kejadian itu turut menyebabkan 33 yang lain cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Na’im berkata dia turut menziarahi lima keluarga pelajar yang terkorban serta lima pelajar yang cedera dalam kejadian berkenaan.
Katanya dalam ziarah itu, sumbangan sebanyak RM7,500 disampaikan kepada setiap waris mangsa yang terkorban, manakala RM4,000 kepada setiap pelajar yang cedera.
Sumbangan kepada waris mangsa merangkumi RM5,000 daripada Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, RM1,000 daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), RM1,100 daripada Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – Yayasan Wakaf Malaysia, dan RM400 daripada Pusat Pungutan Zakat-MAIWP.
Bagi mangsa yang cedera pula, sumbangan merangkumi RM2,000 daripada Yayasan Taqwa MAIWP, RM1,000 daripada Yapeim, RM600 daripada Tabung Musa’adah Jakim, dan RM400 daripada PPZ-MAIWP.
Bagi mangsa yang cedera pula, sumbangan meliputi RM 2,000 daripada Yayasan Taqwa MAIWP); RM1,000 (Yapeim), RM600 (Tabung Musa’adah Jakim), dan RM400 (PPZ-MAIWP).
“Kepada baki waris dan mangsa yang belum sempat diziarahi hari ini, insya-Allah sumbangan akan disampaikan secara berperingkat menerusi agensi-agensi berkaitan.
“Setiap waris dan mangsa yang diziarahi hari ini turut menerima sumbangan bakul makanan bernilai RM150 daripada Tabung Musa’adah Jakim,” katanya.
- Bernama