Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akmal mahu pemimpin Umno, bekas ahli rendahkan ego
Diterbitkan:  Jul 5, 2025 2:06 PM
Dikemaskini: 6:06 AM
1

Atas keyakinan Umno adalah milik semua Melayu, Pemuda Umno Malaysia menegaskan, semua pihak perlu disatukan termasuk dalam kalangan bekas pemimpin parti yang dipecat atau digantung.

Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dr Akmal Saleh, berkata langkah itu boleh dicapai jika semua pihak yang terbabit menilai ego masing-masing dan berkorban demi parti tersebut.

"[…] Umno ini milik semua dan kita mesti disatukan semula. Kita perlukan mereka (bekas pemimpin digantung atau dipecat) untuk membina kekuatan parti.

"Tapi dengan satu syarat, masing-masing kena rendahkan ego, insya-Allah Umno ini akan semakin kuat,” katanya di Seremban, Negeri Sembilan seperti dipetik BH Online.

Akmal yang juga exco Melaka berucap untuk merasmikan program Pemuda Umno Seremban.

Baru-baru ini Umno Sembrong meluluskan usul – untuk tahun kedua berturut-turut – meminta agar ahli parlimen kawasan itu, Hishammuddin Hussein, diterima semula sebagai ahli tanpa sebarang syarat dan serta-merta.

Bagaimanapun Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bermesyuarat kemudian menegaskan permohonan kemasukan semula ahli yang digantung atau dipecat akan dipertimbangkan oleh parti jika mereka sendiri membuat rayuan.

Hishammuddin – yang pernah menjadi naib presiden parti itu – kemudian memberi bayangan dia tidak akan membuat rayuan atas alasan berpegang kepada prinsip yang diyakininya, selain tidak mendakwa dia tidak diadili dengan baik sebelum dihukum.

Dia yang juga anak kepada perdana menteri ketiga Malaysia turut menegaskan keputusan MKT itu mendedahkan perbezaan di antara "mereka" dan "kita".

Akmal berkata, dia juga sedia menjadi penghubung kepada pihak-pihak yang berkenaan bagi membolehkan bekas ahli Umno diterima semula ke dalam parti berkenaan.

Malah katanya dia yakin usaha itu akan dapat dijayakan walau mungkin berdepan laluan sukar.

"Memang Umno tidak pernah ketandusan pemimpin, tapi parti ini adalah seperti keluarga untuk semua. Kita hadir hari ini pun adalah untuk parti.

“Mereka yang pernah dikenakan tindakan ada jasa yang kita tidak boleh lupakan.

"Jadi sebab itu, saya kata yang paling penting adalah penyatuan Umno dan tentunya penyatuan ini tidak boleh dilakukan sebelah pihak saja," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS