Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU 'One Big Beautiful Bill' Trump akhirnya jadi undang-undang
Diterbitkan:  Jul 5, 2025 11:57 AM
Dikemaskini: 3:57 AM

GLOBAL | Presiden AS Donald Trump menandatangani rang undang-undang (RUU) dasar utamanya yang dinamakan "One Big Beautiful Bill" untuk menjadi undang-undang pada petang Jumaat (waktu tempatan), lapor Xinhua.

Majlis di Rumah Putih itu diadakan sehari selepas RUU berkenaan diluluskan dengan majoriti tipis oleh Dewan Perwakilan.

Trump sebelum ini menetapkan tarikh akhir RUU itu diluluskan sebelum 4 Julai bagi membolehkan majlis penandatanganan diadakan sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Kemerdekaan AS.

Undang-undang itu merangkumi dasar utama Trump termasuk pemotongan cukai dan penambahan peruntukan untuk perbelanjaan ketenteraan dan keselamatan sempadan.

Ahli-ahli Dewan Perwakilan dari kedua-dua parti berbeza pendapat mengenai RUU berkenaan – yang antara lain merangkumi pemotongan besar dalam perbelanjaan penjagaan kesihatan dan program makanan untuk golongan miskin.

Ia juga melibatkan peningkatan perbelanjaan untuk ketenteraan dan keselamatan sempadan, selain pemotongan cukai ke atas pelbagai kategori pendapatan.

RUU itu dijangka akan menambah hutang AS sebanyak AS$3.3 trilion.

Ia diluluskan di dewan dengan majoriti tipis 218 berbanding 214, dengan semua anggota Parti Demokrat dan dua anggota Parti Republikan – Thomas Massie dari Kentucky dan Brian Fitzpatrick dari Pennsylvania – mengundi menentangnya.

- Bernama/Xinhua


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS