Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | PKR dan agenda pembangunan masyarakat India

Sebagai sebuah parti politik yang bukan berasaskan kaum, istilah seperti agenda Melayu, agenda Cina dan agenda India tidak begitu ditimbulkan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Situasi ini diambil kesempatan oleh seteru-seteru politik kepada PKR untuk mencipta persepsi bahawa sesuatu kaum tertentu dipinggirkan dalam agenda perjuangan PKR. Memandangkan sokongan rakyat berketurunan India yang kuat terhadap PKR, kaum India sering menjadi sasaran pihak yang mahu mencipta ketidakpuasan hati masyarakat ini terhadap kepimpinan PKR.

Hakikat dan fakta yang sebenar menunjukkan dasar sosio-ekonomi dibawa oleh PKR yang tidak berasaskan kaum sebenarnya lebih berkesan di dalam meningkatkan taraf hidup golongan yang paling terpinggir termasuk juga masyarakat India.

Kaedah dan cara lama yang berasaskan kaum hanya mampu mencipta beberapa orang hartawan individu yang dilihat sebagai "mewakili" kaum masking-masing. Aspek keadilan sosial dipinggirkan dan majoriti rakyat dari pelbagai kaum termasuk kaum India tidak dapat menikmati hasil daripada perlaksanaan agenda berasaskan kaum ini.

Walaupun tanpa dasar khusus untuk sesuatu kaum, contohnya "agenda kaum India", PKR telah berjaya melaksanakan banyak dasar dan rancangan yang meningkatkan taraf hidup masyarakat India.

Sebagai contoh, kerajaan negeri Selangor di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menyalurkan berjuta-juta ringgit setiap tahun untuk keperluan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT). Ini tetap dilakukan walaupun ia bukan termasuk di dalam kategori yang terletak di bawah tanggungjawab kerajaan negeri.

Di peringkat persekutuan pula, kerajaan Madani di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan pelbagai skim yang memperkasakan ekonomi masyarakat India.

Ini meliputi peruntukan di mana sebanyak 8,466 usahawan kecil kaum India telah menerima manfaat menerusi beberapa program di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini sahaja. Program berkenaan termasuk Prosperity Empowerment and A New Normal for Indian Women (PENN), Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) dan Skim Pembiayaan Pemerkasaan SPUMI (SPUMI Goes Big).

Sehingga Februari tahun ini saja RM300 juta telah disalurkan, dengan masing masing RM100 juta untuk Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), SPUMI dan melalui TEKUN Nasional diperuntukkan kepada BRIEF-i. Peruntukan melalui TEKUN ini meningkat RM70 juta berbanding hanya RM30 juta pada tahun 2024.

Seakan cuba dilupakan, sempena sambutan Deepavali tahun lepas Nurul Izzah turun atas kapasiti sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Pulau Pinang menyampaikan sebanyak 10,000 bekas muruku dan 1,000 cawan teh masala kepada orang ramai yang mengunjungi Little India yang menjadi lokasi tumpuan terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Ini antara komitmen dan keperihatinan beliau dalam menyelami kehidupan bermasyarakat demi terus memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan sesama kita.

Pun begitu, seolah-olah menjadi satu momokan sesetengah pihak yang dari masa ke semasa menimbulkan kononnya terdapat ketidakcaknaan pimpinan parti kepada masyarakat ini. Seperti penegasan beliau baru-baru ini, kesenyapan dan tiada hiruk pikuk tentang "agenda kaum India" bukan bermakna masyarakat India sedang dipinggirkan. Sebaliknya kerajaan Madani lebih menumpukan kepada program yang membuahkan hasil yang konkrit dan seiring dengan rancangan pembangunan negara secara keseluruhannya iaitu RMK-13.

Moga dengan penegasan itu kita tidak terus diheret ke kancah dan polemik politik yang sekadar ingin membina naratif yang tidak betul dan menafikan komitmen kerajaan Madani selama lebih separuh penggal ini.

Berpada padalah. PKR tetap dengan agenda agenda yang akan terus disusun untuk pembangunan mereka agar pimpinan dan ahli ahlinya dirasai keberadaannya di tengah tengah masyarakat India.


NAZARUDIN JUSOH ialah bekas naib ketua cabang PKR Ketereh dan memiliki kelulusan kejuruteraan dari United Kingdom.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS