Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dzulkefly akui khilaf dalam pelantikan ahli lembaga pelawat hospital
Diterbitkan:  Jul 4, 2025 9:29 PM
Dikemaskini: 1:34 PM

Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad mengakui khilaf dalam isu pelantikan usahawan vape, Adzwan Ab Manas sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) bagi Hospital Rembau.

Dalam satu kenyataan hari ini, Dzulkefly memaklumkan KKM menerima 2,860 pencalonan daripada pelbagai pihak, termasuk hospital, exco kesihatan negeri dan pemimpin masyarakat bagi 143 hospital di seluruh negara.

“Setiap pencalonan yang diangkat kepada saya telah melalui proses tapisan, dengan mengambil kira pertimbangan, penilaian dan perakuan atau syor daripada wakil negeri masing-masing.

“Namun, dalam hal ini, wujud khilaf dalam proses tapisan tersebut, di mana latar kerjaya calon yang dilantik mempunyai elemen conflict of interest dengan dasar kesihatan semasa yang diperjuangkan KKM. Untuk makluman, individu tersebut tidak lagi berkhidmat sebagai ALPH Rembau,” tambah Dzulkefly.

Dia mengakui kelemahan itu memberi impak besar ke atas persepsi umum terhadap kementeriannya, dan memberi jaminan proses lantikan ALPH di seluruh negara akan disemak semula dan diperkemas dari aspek kriteria kelayakan dan sumbangan kepada masyarakat setempat, yang selari dengan dasar kesihatan awam negara.

“Saya bersama KKM komited untuk terus memperkukuh integriti dan kredibiliti sistem kesihatan negara, termasuk melalui pelantikan wakil masyarakat yang tepat, berwibawa dan berprinsip,” tambahnya lagi.

Adzwan yang merupakan usahawan terkemuka dalam industri vape semalam menafikan dia pernah memegang jawatan dalam lembaga pelawat Hospital Rembau, susulan kritikan meluas berhubung pelantikannya.

Adzwan memberitahu Malaysiakini dia telah meletakkan jawatan pada hari yang sama dia dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan mengenai pelantikan tersebut, iaitu pada 23 Jun.

“Surat (pelantikan) daripada kementerian menyatakan tempoh saya berkuat kuasa pada 1 Januari dan sepatutnya tamat pada 31 Disember 2027, tetapi saya hanya dimaklumkan mengenainya pada bulan lalu.

“Saya hadir mesyuarat (dengan pihak hospital) pada hari sama dan terus letak jawatan.

“Dalam kata lain, saya langsung tidak pernah terima pelantikan itu,” katanya yang juga presiden Persatuan Peruncit Peranti dan Cecair Rokok Elektronik (MRECA).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS