Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Persatuan Pergigian gesa SST dikecualikan untuk rawatan warga asing
Diterbitkan:  Jul 4, 2025 9:27 PM
Dikemaskini: 1:27 PM

Persatuan Pergigian Malaysia (MDA) menggesa kerajaan agar mengecualikan perkhidmatan pergigian yang diberikan kepada pesakit asing daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Dalam kenyataan hari ini, presidennya Dr Chong Zhen Feng berkata langkah itu penting bagi “mengelakkan kesan tidak disengajakan terhadap akses kepada penjagaan kesihatan mulut yang penting”.

Dr Chong menjelaskan yang kebanyakan klinik pergigian di Malaysia menerima bilangan pesakit asing yang sangat kecil, namun tetap menanggung beban pentadbiran dan pematuhan ekoran SST.

Dia berkata ia menyebabkan peningkatan kos operasi yang kemudiannya memberi kesan terhadap kemampuan warga tempatan untuk mendapatkan rawatan.

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Mulut Orang Dewasa 2020, sebanyak 94.6 peratus orang dewasa Malaysia memerlukan rawatan, dan kos kekal menjadi antara halangan utama untuk mendapatkan akses.

“Kos yang semakin meningkat boleh menyebabkan pesakit menangguhkan rawatan yang sepatutnya diterima lebih awal.

“Pelaksanaan SST ke atas perkhidmatan untuk pesakit asing turut memberi kesan kepada kumpulan berpendapatan rendah, seperti pekerja migran dalam sektor penting.

“Tindakan mengenakan cukai ke atas akses kesihatan asas membangkitkan kebimbangan dari segi kemanusiaan dan kesihatan awam,” katanya.

Dr Chong turut bersetuju dengan pandangan yang disuarakan oleh persatuan kesihatan lain, dan membidas tanggapan bahawa pendapatan tahunan melebihi RM1.5 juta bermakna keuntungan yang tinggi.

“Dalam sektor penjagaan kesihatan, angka ini sering dilangkaui disebabkan oleh keperluan berterusan dan sifat kritikal perkhidmatan, bukannya margin keuntungan yang besar. Pendekatan cukai yang seragam tidak mencerminkan peranan sosial dan tanggungjawab yang dipikul penyedia penjagaan kesihatan,” katanya.

Menurut garis panduan Jabatan Kastam, SST sebanyak enam peratus akan dikenakan ke atas perkhidmatan penjagaan kesihatan yang diberikan kepada pesakit bukan warganegara di kemudahan swasta di bawah dasar peluasan cukai oleh kerajaan.

“MDA dengan hormat meminta kerajaan agar memastikan dasar fiskal menyokong—dan bukannya menghalang—akses kepada penjagaan kesihatan yang berpatutan, serta mempertimbangkan mekanisme khusus untuk sektor bagi meringankan beban pentadbiran dan melindungi rakyat daripada kesan tidak disengajakan.

“Kami menghargai kesediaan kerajaan untuk mengkaji semula kerangka SST, namun kami percaya langkah lanjut diperlukan bagi melindungi tahap kemampuan dan akses kepada sektor pergigian dan penjagaan primer,” katanya lagi,

Seruan senada

Bulan lalu, Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) turut menggesa kerajaan agar memberikan pengecualian penuh SST bagi perkhidmatan penjagaan primer kepada pekerja asing.

Presidennya, Dr Shanmuganathan Ganeson berkata kerajaan juga boleh mempertimbang untuk mengenakan moratorium sementara ke atas cukai tersebut bagi memberi ruang untuk membangunkan mekanisme pembiayaan penjagaan kesihatan yang saksama dan mampan.

“Kami telah menghantar rayuan rasmi kepada Kementerian Kewangan untuk memohon pengecualian segera daripada enam peratus SST yang bakal dikenakan ke atas perkhidmatan penjagaan kesihatan primer kepada pekerja asing mulai 1 Julai ini,” katanya seperti dilaporkan The Borneo Post.

Shanmuganathan berkata walaupun saringan di bawah Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) dikecualikan, ramai pekerja asing tetap memerlukan rawatan pesakit luar bagi penyakit biasa, kecederaan dan penyakit kronik, yang merupakan perkhidmatan penting yang biasanya ditanggung oleh pekerja sendiri atau melalui majikan atau program pentadbir pihak ketiga (TPA).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS