Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Keputusan yang betul sering kali sukar - Nik Nazmi di hari terakhir jadi menteri
Diterbitkan:  Jul 4, 2025 5:40 PM
Dikemaskini: 9:44 AM
1

Di hari terakhir sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad merenung kembali langkah yang dibuatnya untuk melepaskan jawatan itu.

Dalam hantaran di Facebook hari ini, Nik Nazmi menyifatkan peletakan jawatannya sebagai satu “keputusan yang sukar”.

“Terima kasih memberi saya peluang untuk menjadi menteri di pejabat ini. Muda (dan jiwa muda), penuh dedikasi. 

“Terima kasih kerana memahami pilihan sukar ini. Acap kali keputusan yang betul adalah keputusan yang sukar,” katanya.

Dalam hantaran itu, dia turut memetik bait lirik lagu Good Riddance oleh kumpulan Green Day, antaranya:

“So make the best of this test, and don’t ask why… But in the end it’s right, I hope you had the time of your life.”

Walaupun diminta untuk terus memegang jawatan kabinet, Nik Nazmi dan bekas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli memilih untuk tetap meletakkan jawatan selepas tewas dalam pemilihan PKR dua bulan lalu.

Pada bulan lalu, Nik Nazmi mempertahankan keputusannya itu dengan berkata ia disandarkan kepada "perkiraan yang lebih besar."

Dalam satu lagi hantaran di Facebook, Nik Nazmi yang juga ahli Parlimen Setiawangsa menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012 sebagai tidak berperlembagaan.

Dia turut menggesa agar peruntukan tersebut dimansuhkan daripada akta berkenaan, sambil mengimbas kembali bahawa dia sendiri pernah didakwa di bawah undang-undang yang sama.

“Saya sendiri pernah didakwa di bawah peruntukan ini pada 2013 susulan penglibatan saya dalam penganjuran Himpunan Black 505. Pada 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan Seksyen 9(5) adalah tidak berperlembagaan ketika melepaskan dan membebaskan saya. Namun saya didakwa berkali-kali dan naik turun mahkamah.

“Akhirnya saya menang saman ke atas kerajaan dan Peguam Negara ketika itu, Abdul Gani Patail dan menerima ganti rugi RM230,000,” katanya.

Nik Nazmi juga menyuarakan sokongan kepada bekas Setiausaha Agung Muda, Amir Hariri Abd Hadi, yang didakwa di bawah Seksyen 9(5) PAA kerana menganjurkan perhimpunan berkaitan skandal kapal tempur pesisir (LCS), yang turut disertainya.

“Keputusan ini bukan sahaja selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak rakyat untuk berhimpun secara aman, malah memperkukuh asas negara demokrasi yang sentiasa ditegakkan oleh rakyat Malaysia.

“Hanya kini - lebih sedekad kemudian - ketidakadilan itu akhirnya ditebus melalui penghakiman tertinggi negara.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan ini memperkukuh pendirian Mahkamah Rayuan dan membawa mesej yang jelas: rakyat tidak sepatutnya dihukum hanya kerana gagal memberikan notis kepada polis di bawah Seksyen 9(1) PAA.

“Hak untuk berhimpun adalah hak asasi dan ia tidak boleh dihukum atas alasan teknikal semata-mata,” katanya lagi.

Bekas Naib Presiden PKR itu berharap keputusan tersebut menjadi titik mula untuk pihak berkuasa dan institusi kerajaan agar lebih menghormati serta melindungi hak asasi rakyat.

“Kes ini membuktikan kepentingan institusi kehakiman yang bebas, dan ia tidak boleh diambil mudah sebagai salah tunjang negara demokrasi berparlimen seperti Malaysia,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS