Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Adakah tuntut negara bersih dari rasuah dianggap kesalahan?'
Diterbitkan:  Feb 2, 2025 8:15 PM
Dikemaskini: 12:15 PM

Penganjur perhimpunan antirasuah mempersoalkan sama ada kerajaan berhasrat untuk menutup mulut golongan muda yang lantang bersuara menentang rasuah.

Penganjur mempersoalkan perkara itu hanya dalam tempoh sebulan selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru golongan muda berhenti membela pemimpin yang rasuah.

Dalam satu kenyataan petang ini, Sekretariat Rakyat Benci Rasuah mengecam tindakan polis menyoal siasat aktivis yang terlibat dalam penganjuran demonstrasi yang berlangsung 25 Jan lalu di Kuala Lumpur.

"Lantas kita bertanya -- adakah menuntut negara yang bersih dari rasuah kini satu kesalahan? Adakah suara anak muda begitu mencabar sehingga perlu dipadamkan dengan intimidasi dan siasatan?" soal mereka.

Mereka menambah bahawa pemimpin kerajaan yang berkuasa hari ini telah turun ke jalan raya untuk membantah rasuah pada masa lalu.

Pada 25 Jan kira-kira 200 hadir berdemonstrasi di Dataran Merdeka, membantah rasuah di negara ini.

Salah satu plakad yang terkenal pada protes itu, melabelkan Anwar sebagai "bapa pembebasan perasuah" - dipercayai merujuk kepada kritikan terhadap penarikan balik pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Perhimpunan itu adalah kesinambungan protes yang diketuai pelajar di Sabah berhubung pelantikan Musa Aman sebagai Tuan Yang Terutama negeri itu.

Protes di Kuala Lumpur pada mulanya mendapat tentangan daripada pihak berkuasa, tetapi mendapat kebenaran daripada Anwar sehari sebelum perhimpunan.

Namun, 13 pelajar kemudiannya dipanggil untuk disoal siasat oleh polis yang menyiasat perhimpunan itu di bawah Akta Perhimpunan Aman.

Sepuluh aktivis pelajar telah disoal siasat di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur hari ini, manakala dua lagi dilaporkan akan direkodkan keterangan mereka di Sabah.

Seorang lagi pelajar masih belum memberi pengesahan untuk diambil keterangan, menurut ketua polis Dang Wangi Sulizmie Affendy Sulaiman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS