Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wee: 'Orang luar' mahu MCA disingkir dari BN, kami tunggu keputusan Umno
Diterbitkan:  Feb 2, 2025 4:49 PM
Dikemaskini: 8:49 AM

Presiden MCA Wee Ka Siong mendedahkan bahawa "orang luar" tertentu telah mencadangkan agar Umno menyingkirkan MCA daripada Barisan Nasional (BN).

Dia berkata MCA "menunggu" keputusan Umno.

Tanpa memetik nama, Wee menegaskan bahawa sesetengah orang yang tidak pernah menjadi sebahagian daripada BN kini menikmati hubungan rapat dengan Umno.

Ironinya, dia berkata mereka adalah pihak yang sama sebelum ini menuduh MCA mengkhianati masyarakat Cina kerana hubungannya dengan Umno.

"Pada masa itu, MCA dipersalahkan kerana kamu (Umno). Kami dilabel sebagai pengkhianat kepada orang Cina, dituduh terlalu rapat dengan kamu - dan tuduhan ini datang daripada mereka (orang luar).

“Sekarang mereka ini menasihatkan anda untuk menyingkirkan MCA, kami tunggu,” kata ahli parlimen Ayer Hitam itu.

Wee membuat kenyataan ini dalam wawancara bersama dengan akhbar Cina. Video temu bual itu dimuat naik ke laman Facebooknya hari ini.

Dalam video itu, Wee menekankan bahawa "orang luar" itu kini memegang jawatan kerajaan bersama Umno, yang menjelaskan keakraban baru mereka.

“Kami tidak dengki dan tidak cemburu,” katanya.

Dia juga menyatakan bahawa apabila pemimpin Umno tertentu membuat kenyataan, selalunya "orang luar" itu - dan bukannya daripada parti komponen BN - yang menyokong mereka.

Wee seterusnya menegaskan bahawa pihak berkenaan juga telah menggesa Umno untuk menyingkirkan MCA daripada BN.

“Adakah anda fikir BN patut melayan gesaan sedemikian?

“Jika BN mempunyai sejarah menyingkirkan parti komponen sesuka hati, ia tidak akan bertahan sehingga hari ini.

"Apa yang saya ingin katakan ialah ini - setiap kali anda orang luar mendengar sesuatu yang anda tidak suka, reaksi pertama anda ialah menuntut penyingkiran MCA. Malah anda mendakwa bahawa MCA tidak sepatutnya menjadi sebahagian daripada kerajaan. Tetapi pernahkah anda mengambil masa sebentar untuk memikirkan apakah isu sebenar?" soalnya.

Meski tidak memetik mana-mana nama, Wee dipercayai merujuk kepada DAP yang merupakan seteru dan pesaing MCA, terutama dalam meraih sokongan pengundi dari kalangan masyarakat Cina.

MCA kekal sebagai parti komponen BN, yang merupakan sebahagian daripada kerajaan yang memerintah.

Parti itu kini mempunyai dua ahli parlimen - Wee sendiri dan Ahli Parlimen Tanjung Piai Wee Jeck Seng. Bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak dilantik ke jawatan menteri atau timbalan menteri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS