Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kerajaan pura-pura sokong perhimpunan tapi guna polis susahkan mahasiswa'
Diterbitkan:  Feb 2, 2025 4:27 PM
Dikemaskini: 8:27 AM

Muda mengkritik kerajaan selepas polis memanggil pelajar yang menghadiri perhimpunan Himpunan Rakyat Benci Rasuah pada 25 Jan untuk disoal siasat.

Muda berkata tindakan polis memanggil 13 pelajar untuk memberikan keterangan di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi memberi gambaran yang bercanggah dengan pendirian kerajaan terhadap perhimpunan aman.

"Beberapa hari lalu, Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) dengan penuh yakin menyatakan bahawa beliau 'tidak ada masalah' dengan Himpunan Rakyat Benci Rasuah.

"Menteri Dalam Negeri juga memberikan jaminan bahawa himpunan ini dibenarkan. Tetapi hari ini, 13 mahasiswa dipanggil polis hanya kerana mereka turun ke jalan menuntut reformasi tulen.

"Jadi, yang mana satu betul? Apakah ini dasar kerajaan sekarang -- di depan umum, pura-pura terbuka kepada perhimpunan rakyat, tetapi di belakang, senyap-senyap guna polis untuk menyusahkan mahasiswa?" soal parti itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Sekretariat Rakyat Benci Rasuah dan mahasiswa yang berhimpun pada 25 Januari lalu, Muda mendakwa kerajaan hari ini menjadi apa yang mereka pernah lawan.

"Kita tidak lupa. Mereka (pemimpin kerajaan hari ini) sendiri pernah dikejar polis, dipanggil untuk siasatan, dan dizalimi dengan undang-undang yang sama. Sekarang, mereka pula yang menggunakannya terhadap mahasiswa yang sekadar menuntut integriti dan ketelusan.

"Jika kerajaan benar-benar komited kepada reformasi seperti yang dilaungkan, seharusnya perasuah yang dipanggil polis, bukan mahasiswa yang melawan rasuah,” katanya.

Tambah parti itu, pihaknya memahami tugas polis untuk menegakkan undang-undang tetapi kerajaan tidak boleh menggunakan pihak berkuasa sebagai alat untuk menakut-nakutkan orang ramai.

"Kami menggesa kerajaan supaya berhenti daripada mengulangi kesilapan lampau yang mereka sendiri pernah kecam. Jika benar kerajaan ini mahu membuktikan prinsip Madani yang dilaungkan, mereka harus menunjukkan komitmen melalui tindakan, bukan intimidasi.

"Kepada mahasiswa yang disiasat—teruskan dengan keberanian dan kejelasan prinsip. Jika melawan rasuah adalah satu jenayah, maka biarlah sejarah mencatat siapa yang berdiri di pihak yang benar.

"Seperti kata pepatah: Membujur lalu, melintang patah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS