Seorang saintis politik di Universiti Sunway, Wong Chin Huat, menganggap cadangan cadangan bekas menteri, Zaid Ibrahim, agar Khairy Jamaluddin dan pemimpin Umno lain yang diketepikan agar menyertai PAS sebagai ‘pelik’.
Hal itu kerana, kata Wong, sejak sekian lama Zaid diketahui menjadi pengkritik tegar PAS dan fahaman konservatisme parti berkenaan.
"Tidak jelas sama ada nasihat yang dimaksudkan Zaid itu adalah madu atau racun," katanya kepada Malaysiakini.
Wong berpendapat menyertai PAS akan menjadi "pilihan terburuk" buat Khairy kerana dia bukan sahaja akan kehilangan penyokong tegar dan beraliran sederhananya, malah dia juga bakal bergelut untuk mendapatkan keyakinan dalam PAS kerana kekurangan kredibiliti Islamisnya.
Tambah Wong, pilihan "kedua terburuk" untuk bekas ketua Pemuda Umno Malaysia itu ialah menubuhkan partinya sendiri ekoran jumlah parti yang terlalu banyak ketika ini.
Sambil menyatakan bahawa pilihan terbaik untuk Khairy ialah "menunggu gilirannya untuk kembali dan memimpin Umno," Wong juga mengingatkan pandangannya itu bergantung kepada keberadaan Najib Razak.
“Umno mungkin tidak akan bertahan jika ia kekal di bawah naungan Najib.
“Tidak seperti bekas presiden di Korea Selatan yang dipenjarakan kerana rasuah selepas mengaku bersalah, memohon maaf, bersara dari politik dan mendapat pengampunan dan parti mereka (parti konservatif yang sama walaupun perubahan label parti) terselamat daripada kerosakan yang tidak boleh diperbaiki, Najib bahkan mengheret Umno bersamanya.
“Jika Khairy mahu menjadi penyelamat kebangkitan Umno, dia mesti membantu Umno untuk tampil semula imej baru, bukan duduk di atas pagar, mengharapkan sokongan daripada Najib untuk membantu dia kembali,” tambahnya.
Wong juga menyatakan jika orang Melayu meninggalkan Umno selepas kekalahan berturut-turut pada PRU 2018 dan 2022, pengundi aliran pertengahan dalam kalangan kaum itu mungkin beralih kepada PAS.
Jika itu berlaku, katanya lagi, Khairy mungkin terpaksa menyertai PAS untuk meneruskan cita-cita politiknya.
"Untuk memulihkan Umno, Khairy harus menyasarkan serangannnya kepada Najib, bukan (Presiden Umno) Ahmad Zahid Hamidi yang memecatnya.
“Kerosakan dilakukan Ahmad Zahid kepada Umno adalah lebih kecil berbanding Najib,” katanya.
Boleh masuk parlimen
Jika Khairy benar-benar menyayangi Umno seperti yang didakwanya, tambah Wong, dia mesti membantu Umno walaupun sekadar dari luar agar parti itu kembali menjadi gerakan nasionalis konservatif yang baik, tidak terlibat dana rasuah, dan sederhana iaitu tidak mengenepikan mana-mana kaum.
Menurut Wong, pilihan kedua dan ketiga terbaik buat Khairy ialah menyertai PKR dan DAP – namun langkah itu bukan sekarang.
“Apabila tiba masa yang sesuai, dia akan mempunyai peluang untuk naik ke puncak.
“Kecanggihan Khairy boleh memenangi sokongan pengundi pergengahan termasuk sesetengah orang bukan Melayu, menjadikan dia seorang pemimpin Melayu yang petah dan berwawasan yang diperlukan oleh kedua-dua parti berbilang kaum ini,” tambahnya.
Semalam, Zaid berkata PAS menawarkan laluan terbaik untuk Khairy, yang kini menjadi hos audio siar popular serta berpengaruh, Keluar Sekejap.
Beliau berkata bekas menteri kesihatan itu juga mempunyai dua pilihan "realistik" - menubuhkan partinya sendiri, atau bertanding sebagai calon bebas.
“Tetapi jika dia tidak mahu dua pilihan itu, maka sertailah PAS. Dia pasti akan menang.
“Kemudian dia boleh memasuki parlimen dan mencari jalan untuk membina sokongan untuk menjadi perdana menteri - bukan serta-merta, tetapi dalam 10 tahun akan datang atau lebih.
“Saya pasti PAS akan ambil dia. Saya juga akan berkempen untuknya jika dia menyertai PAS dan bertanding,” katanya lagi.