Selepas mengecam pembabitan PN dalam kempen solidariti untuk Najib Razak, seorang bekas pemimpin peringkat negeri gabungan itu menyatakan rancangannya untuk memilih parti lain sebagai wadah politiknya.
Bagaimanapun, Mahathir Rais setakat ini masih berteka-teki mengenai parti yang menjadi pilihan.
Kata bekas Setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan itu, ia masih di peringkat awal dan dia perlu menjalani proses seperti orang lain sebelum menyatakan parti mana yang dianggotainya.
"Saya perlu melalui proses keahlian yang betul dan mengikut langkah-langkah yang perlu.
“Masih awal, nanti apabila semuanya dimuktamadkan, saya akan maklumkan," katanya kepada Malaysiakini.
Berdasarkan kenyataan itu, besar kemungkinan Mahathir sedang dalam proses menyertai salah satu parti dalam kerajaan kerana katanya, dia lebih suka menyokong agenda Putrajaya dalam membina semula Malaysia.
Malah, Mahathir berkata, dia tidak lagi mahu dikaitkan dengan Bersatu.
Terdahulu, Mahathir mengumumkan peletakan jawatannya serta-merta melalui sepucuk surat yang ditujukan kepada Pengerusi Bersatu dan PN Wilayah Persekutuan, Mohd Radzi Jidin.
Dia tidak memberikan alasan bagi keputusannya ketika itu, tetapi sebelum ini pernah mengkritik tindakan PAS - rakan Bersatu dalam PN – kerana menyertai perhimpunan solidariti Najib di Putrajaya pada 6 Jan lalu.
Dia menyifatkan penglibatan parti pembangkang berkenaan sebagai "mengecewakan" dan "berbau oportunisme politik."
Sementara itu Mahathir turut menyatakan kekagumannya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan menganggap bahawa negara sedang mencapai kemajuan di bawah presiden PKR itu.
"Dengan dasar yang jelas dan visi jangka panjang, Anwar meletakkan asas bagi daya tahan ekonomi dan kemajuan negara," katanya.
Mahathir turut mengecam pembangkang dengan menegaskan bahawa parti terbabit tidak mempunyai calon perdana menteri yang muktamad.
Bulan lalu, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, menegaskan parti itu lebih layak memimpin PN, sekali gus memberi isyarat mereka menolak cadangan supaya Muhyiddin Yassin kekal sebagai calon perdana menteri gabungan berkenaan.
Dia juga dipetik berkata, PAS lebih layak memimpin PN kerana memiliki wakil rakyyat paling ramai di Dewan Rakyat berbanding parti komponen lain, serta mempunyai jentera kuat di seluruh negara.
Sebagai perbandingan PAS mempunyai 43 wakil Dewan Rakyat manakala Bersatu hanya 25.