Seseorang pemimpin tidak perlu gentar untuk menghadapi proses pemilihan parti sesuai dengan semangat demokrasi, kata seorang bekas pemimpin kanan Pemuda PKR (AMK).
Menurut Syed Badli Shah Syed Osman, Anwar Ibrahim selaku presiden PKR memerlukan barisan pemimpin yang lebih dinamik dalam usaha mereka mengukuhkan agenda rakyat.
Bekas Naib Ketua AMK itu lagi, langkah berkenaan perlu untuk membolehkan PKR terus relevan dalam politik negara.
“Justeru setiap pemimpin tidak perlu gentar untuk melalui proses pemilihan sama ada untuk memilih mahupun dipilih.
“Demokrasi itu bising, sementara jika senyap itu bererti tidak berani melakukan perubahan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Semalam seorang pemimpin kanan PKR memberi bayangan parti itu mungkin tidak akan mempertandingkan dua jawatan tertinggi mereka dalam pemilihan dijangka berlangsung pada Mei ini.
Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Shamsul Iskandar Md Akin, berkkata cadangan tersebut dibuat berdasarkan kepada pandangan beberapa pihak hasil rundingan dalaman parti sebelum ini.
Dia yang juga Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri menambah, saranan itu muncul bagi memastikan suasana dalaman PKR lebih tenang dan melancarkan usaha memberi khidmat kepada rakyat, khususnya menjelang PRU kira-kira dua tahun lagi.
Syed Badli Shah berkata proses demokrasi dalam PKR tidak seharusnya disekat mahupun dihadkan.
Meraikan demokrasi, katanya, bermaksud parti membuka ruang kepada semua anggota sama ada untuk memilih atau dipilih.
Sebagai sebuah parti yang melaungkan slogan Reformasi sebagai asas perjuangannya, tambah Syed Badli Shah lagi, demokrasi dalam proses pemilihan harus diraikan dengan saksama di semua peringkat.
“Pemilihan parti adalah proses untuk menilai semula prestasi setiap pimpinan yang telah diberikan tanggungjawab.
“Proses pemilihan akan memberikan ruang kepada anggota untuk menukar pemimpin yang lemah ataupun mengekalkan mereka yang berupaya.
“Sekiranya seorang pemimpin itu dilihat berprestasi baik dan berupaya, tentunya akar umbi akan memilih untuk mengekalkan beliau di posisi, dan begitulah juga jika sebaliknya,” kata Syed Badli Shah lagi.