Jumlah mangsa banjir di Sarawak berkurangan namun masih melepasi angka 12,000 orang pagi ini, manakala di Sabah merekodkan peningkatan jumlah mangsa yang dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding malam tadi.
Di SARAWAK, seramai 12,116 mangsa masih di tempatkan di 62 buah PPS setakat 8 pagi tadi dengan enam bahagian terjejas, berbanding 12,423 mangsa pada malam tadi.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, jumlah mangsa dipindahkan di Bahagian Bintulu (melibatkan daerah Bintulu, Tatau dan Sebauh) adalah seramai 5,184 orang, dan Serian (daerah Serian, Siburan dan Balai Ringin) seramai 2,617 mangsa.
Bahagian Samarahan (Samarahan, Asajaya, Sebuyau, Simunjan dan Gedong) pula merekodkan 1,926 mangsa; Bahagian Sibu (Sibu, Selangau dan Kanowit) 1,189 mangsa; Bahagian Miri (Miri, Subis dan Beluru) mangsa yang dicatatkan ialah 1,138 orang; manakala Bahagian Mukah (Mukah dan Matu) 62 orang.
Di SABAH, jumlah mangsa banjir sedikit meningkat kepada 1,651 orang melibatkan 537 keluarga setakat jam 8 pagi tadi, berbanding 1,485 orang daripada 493 keluarga pada malam tadi.
Sekretariat JPBN Sabah melaporkan daerah Tongod - yang pulih petang semalam - kembali dilanda banjir dengan dua PPS dibuka, menjadikan lima daerah yang masih dilanda banjir.
Pitas kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 819 orang (301 keluarga), diikuti Lahad Datu kekal dengan 520 orang (140 keluarga), Tongod dengan 155 orang (41 keluarga), Beaufort kekal dengan 110 orang (32 keluarga) dan Paitan dengan 47 orang (23 keluarga).
- Bernama