Pemuda PAS dilaporkan kecewa dengan tindakan pihak berkuasa yang dianggap mereka sebagai "tidak seimbang" di antara kes ugutan ke atas pelawak Harith Iskander dan pengguna Facebook dikenali sebagai Cecelia Yap yang membuat kenyataan tidak sensitif mengenai kekecohan sandwic ham dan keju.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Mohd Hafez Sabri, berkata walaupun pihak berkuasa segera mengambil tindakan terhadap individu yang mengancam Harith, langkah serupa terhadap pelawak dan Yap masih belum ditangani dengan sewajarnya.
“Ini jelas menunjukkan ketidakseimbangan dalam penguatkuasaan undang-undang yang sepatutnya melindungi keharmonian antara agama di negara ini,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Pada 31 Jan lalu Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM2,000 kepada seorang lelaki berusia 31 tahun kerana melakukan ugutan jenayah terhadap keluarga Harith Iskander.
Antara lain Izzuddin Md Salin didakwa menghantar mesej WhatsApp dengan gambar dan kata-kata ugutan, membayangkan niatnyya untuk melakukan rogol dan bunuh.
Tindakan tersebut diambil tertuduh sebagai reaksinya terhadap hantaran Harith Iskander mengenai penggunaan perkataan "ham" yang timbul ekoran kontroversi status halal sandwic di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya.
Yap pula disiasat berhubung komen yang dibuatnya pada catatan Facebook Harith. Dia sudah membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung komen berkenaan.
Mohd Hafez yang juga Adun Manjoi menegaskan, soal halal bukanlah perkara remeh sebaliknya menjadi kewajiban agama dalam Islam yang mesti dihormati semua pihak.
“Penghinaan terhadap nama ‘Muhammad’ — nama junjungan besar SAW — adalah perkara yang tidak boleh dipandang ringan dan perlu dikenakan tindakan tegas,” katanya.
Justeru, kata Mohd Hafez, Pemuda PAS menggesa pihak berkuasa supaya berlaku adil dan konsisten dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang mencetuskan ketegangan agama.
“Tiada sesiapa pun harus dikecualikan daripada tindakan undang-undang jika mereka menghina atau mempersendakan sensitiviti agama mana-mana masyarakat,” tambahnya.
Beliau juga menegaskan bahawa sikap berdiam diri mengenai penghinaan terhadap Islam hanya akan mewujudkan lebih banyak peluang untuk provokasi masa depan.
Selain itu, Mohd Hafez berkata, Pemuda PAS menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam membuat kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan dan sentiasa menjunjung prinsip Rukun Negara yang menekankan kesopanan dan kesusilaan.