Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kesilapan Razman kes terpencil, tak mewakili PAS - Takiyuddin
Diterbitkan:  Feb 1, 2025 10:48 PM
Dikemaskini: 11:55 PM
6

Kekhilafan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria yang mendakwa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mempunyai kaitan dengan keluarga pengasas Kumpulan YTL dianggap kes terpencil dan tidak mewakili parti itu, kata setiausaha agungnya, Takiyuddin Hassan.

Berita Harian memetik Takiyuddin sebagai berkata, ahli dan pemimpin PAS masih lagi terkawal dan berdisiplin, serta tidak terlanjur kata yang keterlaluan.

Bagaimanapun Takiyuddin tidak menafikan wujudnya 'seorang dua' yang bercakap atas kapasiti peribadi.

"Saya boleh kata dalam semua organisasi (politik) akan ada seorang atau dua orang yang macam ini, tetapi takkanlah kita nak mengatakan sesebuah organisasi itu semua macam ini.

"Individu punya pandangan tak mewakili parti, tidak mewakili jawatannya sendiri dan kalau pun bercakap atas (kapasiti jawatan) pesuruhjaya, dia tak boleh mewakili.

"Itu adalah kes terpencil bagi kita... parti lain teruk lagi, kata parti tu celaka la, apa semua... tapi bagi kita sebuah parti Islam, masih merasakan kita terkawal, ahli dan pemimpin kita, sentiasa disiplin," katanya.

Takiyuddin juga dipetik berkata tindakan dalaman 'sudah pasti ada sekurang-kurangnya teguran dan paling tidak pun amaran', bagi menunjukkan adanya tindakan daripada kepimpinan.

Ditanya mengenai gesaan beberapa pihak termasuk ahli PAS supaya Razman direhatkan sementara daripada jawatannya, Takiyuddin menyerahkan perkara itu kepada kepimpinan tertinggi untuk membuat keputusan.

Dalam ucapan yang turut dimuatkan di media sosial, Razman mendakwa Yeoh ialah anak kepada pengasas YTL Corporation Berhad Yeoh Tiong Lay.

Bagaimanapun pada 27 Jan, dia memohon maaf dan mengaku tersilap selepas ahli parlimen Segambut itu menafikan dakwaan tersebut.

Dakwaan itu dibuat tidak lama selepas seorang lagi ahli parlimen PAS, Siti Mastura Muhammad menyerahkan sebanyak RM830,000 ke akaun firma guaman yang mewakili tiga pemimpin DAP selepas kalah dalam saman fitnah difailkan mereka.

Mastura mendakwa pengerusi kebangsaan DAP, Lim Guan Eng dan bapanya, Kit Siang, mempunyai kaitan dengan pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng, manakala Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mempunyai kaitan dengan Lim.

Razman juga tidak asing dalam menerima saman fitnah.

Pada Disember lalu, Razman memohon maaf kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming selepas mengaitkannya dengan insiden kibaran bendera China di Teluk Intan, Perak. Permohonan maaf itu dibuat selepas Nga mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang.

Pada 2023, Razman memohon maaf kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim di mahkamah selepas mendakwa Anwar membawa agenda pro-LGBT.

Dia juga pernah diperintahkan membayar ganti rugi kepada pengerusi DAP Lim Guan Eng pada 2023 dan bekas Menteri Besar Perak Mohammad Nizar Jamaluddin pada 2017 atas saman fitnah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
6
ADS