Tindakan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, mengaitkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dengan keluarga konglomerat Yeoh dari YTL Corporation Bhd membuktikan Adun Semanggol itu tidak pernah insaf atau melakukan ‘kerja rumah’ sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Menurut Timbalan Ketua Pemuda PKR (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim, ini bukan kali pertama Razman membuat kenyataan sedemikian.
Katanya, sejak 2019, banyak kenyataan fitnah diungkapkan Razman berakhir dengan permohonan maaf atau tindakan saman.
"Lebih memalukan perbuatan Razman ini bukan hanya menjadi bahan ketawa dan kecaman masyarakat bahkan ada dalam kalangan penyokong PAS juga secara terang-terangan mempersoalkan tindakan dilakukan Ketua Pembangkang DUN Perak yang boleh memberikan kesan negatif kepada PAS," katanya dalam kenyataan.
Pada 27 Jan lalu, Razman memohon maaf kepada Yeoh dan kumpulan YTL kerana mengaitkan pemimpin DAP itu sebagai 'anak YTL'.
Dia turut menyalahkan media kerana “mengerat” video panjang ceramahnya untuk dijadikan tajuk berita.
Kenyataan itu dibuat tidak lama selepas Ahli Parlimen Kepala Batas dari PAS, Siti Mastura Muhammad menyerahkan lebih RM830,000 kepada firma guaman yang mewakili tiga pemimpin DAP selepas kalah dalam saman fitnah difailkan mereka.
Pada 11 Disember lalu, Razman turut memohon maaf kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kerana mengaitkannya dengan insiden kibaran bendera China di Teluk Intan pada 24 Okt tahun lalu.
Permohonan maaf itu dibuat selepas Nga mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
Pada 2023, Razman memohon maaf secara terbuka kepada Anwar Ibrahim di mahkamah selepas mendakwa perdana menteri itu membawa agenda pro-LGBT.
Dia juga pernah diperintahkan membayar ganti rugi kepada pengerusi DAP Lim Guan Eng pada 2023 dan bekas Menteri Besar Perak Mohammad Nizar Jamaluddin pada 2017 selepas kalah dalam saman fitnah.
Dalam pada itu, Muhammad Kamil menegaskan budaya fitnah tidak mempunyai tempat dalam masyarakat yang meraikan keharmonian.
"Kita akui sebarang kesilapan disantuni dengan ucapan maaf serta memaafkan itu juga satu tindakan terpuji dan berjiwa besar.
“Namun, jika acap kali dibuat seakan menjadi satu ketagihan yang membarah dalam batang tubuh antara insan yang mendakwa ‘terpaling’ menegakkan akhlak Islamiyyah di negara ini,” ujarnya.
Tambahnya, selaku pemimpin 'senior' dalam landskap politik negeri dan negara, Razman tidak sepatutnya memainkan sentimen atau membangkitkan perkara yang tidak mempunyai asas kebenaran.
"Sebaliknya, selaku ketua pembangkang DUN Perak, anda seharusnya ‘menunggang’ isu yang lebih signifikan dan melibatkan kemajuan negeri Perak serta kesejahteraan rakyat," tegasnya.