Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ramasamy gesa Saifuddin dedahkan status pendaftaran Urimai
Diterbitkan:  Jun 30, 2024 11:13 PM
Dikemaskini: 3:13 PM

Pengerusi sementara Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P Ramasamy, menggesa Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan status pendaftaran parti itu.

Menurut Ramasamy, ini setelah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berdiam diri mengenai pendaftaran Urimai sebagai parti politik.

Dia menegaskan pihaknya telah memohon untuk mendaftarkan Urimai lebih enam bulan lalu, tetapi tiada maklum balas diberikan ROS.

"Saya meminta Saifuddin… sama ada kamu tolak permohonan pendaftaran kami atau kamu luluskannya,” katanya.

Dia menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap ROS dan Kementerian Dalam Negeri berkenaan perkara ini.

Pada 27 November 2023, Ramasamy mengumumkan penubuhan Urimai selepas keluar daripada DAP.

Bertanding pilihan raya

Dalam perkembangan berkaitan, Ramasamy yang juga merupakan bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, hari ini berkata Urimai berhasrat bertanding dalam pilihan raya kecil yang akan datang dan pilihan raya negeri.

Menurutnya parti itu akan menurunkan calon untuk bertanding sebagai calon bebas jika Urimai masih tidak didaftarkan secara rasmi pada masa itu.

"Mereka (calon bebas) akan disokong oleh Urimai.

"Kami sangat serius memikirkannya... dalam keadaan itu, kami harus bertanding atau kami akan dituduh sebagai sebuah organisasi bawah tanah," katanya.

Mengenai kemungkinan bekerjasama dengan parti atau gabungan lain, Ramasamy berkata Urimai tidak mempunyai rancangan untuk berbuat demikian pada masa ini kerana "masih terlalu awal untuk menentukannya".

"Urimai sedang meneroka hubungan dengan parti politik seperti PAS dan Bersatu tetapi kami perlu bertemu di tengah-tengah. Mereka tidak boleh mengharapkan kami datang kepada mereka atau sebaliknya.

"Ia adalah kemungkinan (kerjasama dengan PN). Semuanya bergantung kepada sama ada PN dapat menangani masalah orang bukan Melayu.

"Selagi Urimai merupakan parti politik bebas di negara ini dan tidak terikat kepada mana-mana gabungan politik," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS