Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar tak berani berdepan pengundi Sungai Bakap, kata Ramasamy
Diterbitkan:  Jun 30, 2024 10:42 PM
Dikemaskini: 2:59 PM
2

Pengerusi sementara Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P Ramasamy mengkritik Anwar Ibrahim selepas perdana menteri itu mengatakan tidak akan turun berkempen pada pilihan raya kecil (PRK) Sungai Bakap bagi memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah ekonomi.

Bercakap kepada pemberita hari ini, Ramasamy mendakwa sebab sebenar Anwar tidak akan muncul dalam kempen PRK itu adalah kerana tidak mampu berdepan dengan rakyat akibat "pentadbirannya yang penuh kontradiksi."

"Dia tidak berani tampil di Sungai Bakap. Dia tahu bahawa calon Pakatan Harapan akan kalah di Sungai Bakap," katanya dalam sidang media selepas merasmikan pejabat itu di Klang hari ini.

"Jika Anwar mengatakan dia ingin fokus pada ekonomi, mengapa kita menghadapi begitu banyak masalah?"

"Sebagai contoh, isu subsidi bersasar dan harga telur hanya dikurangkan sebanyak tiga sen setiap satu... Adakah itu satu pencapaian? Bagaimana dengan harga barang? Ringgit tidak bertambah baik berbanding dolar," katanya

Justeru, Ramasamy, yang merupakan bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, berkata dia akan memberitahu masyarakat India di Sungai Bakap supaya tidak mengundi calon PH, Joohari Ariffin, pada PRK itu.

"Mereka (PH) memungkiri semua janji dalam pembaharuan dan sebagainya," katanya.

Joohari akan berdepan Abidin Ismail dari PN yang berhasrat mempertahankan kerusi tersebut bagi gabungan pembangkang.

Sungai Bakap mempunyai 39,279 pengundi yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Pengundi Melayu terdiri daripada 59 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar, diikuti oleh Cina (22.5 peratus), India (17.4 peratus) dan lain-lain (satu peratus).

Semalam, Anwar menjelaskan bahawa dia menyerahkan tugas kepada rakan-rakan dalam kerajaan perpaduan termasuk timbalan pengerusi PKR Pulau Pinang, Mohamad Abdul Hamid, untuk berkempen pada PRK berkenaan, lapor Bernama.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2
ADS