Paling Popular
Terkini

PRK SG BAKAP | Pasukan PH berjaya menewaskan pasukan PN dengan jaringan 3 - 2 dalam perlawanan bola sepak yang berlangsung di Taman Pekatra, Simpang Ampat di Nibong Tebal hari ini.

Pasukan PH diketuai Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta turut dibarisi bekas pemain kebangsaan, Norshahrul Idhlan Talha, pemenang anugerah Puskas, Faiz Subri dan penolong jurulatih skuad Pulau Pinang, Manzoor Azwira.

Skuad PN pula diketuai Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan turut menampilkan bekas pemain kebangsaan Baddrol Bakhtiar yang juga Adun Gurun dan Adun Alor Mengkudu, Radhi Mat Din.

Turut beraksi beberapa wakil rakyat kedua-dua parti seperti Ahli Parlimen Kuching, Kelvin Yii dan Adun Gombak Setia, Hilman Idham.

Aksi separuh masa pertamanya menyaksikan Akmal muncul membuka tirai jaringan.

Hantaran silang Shahrul cekap disambut ahli parlimen Johor Bahru itu sekali gus menjaringankan gol pertama.

Bagaimanapun Baddrol tampil menyamakan kedudukan tidak lama kemudian menjadikan kedudukan 1-1.

Faiz kemudiannya mengecewakan penyokong PN dengan gol kedua pasukannya menjadikan kedudukan 2-1 di sehingga tamat separuh masa pertama.

Kedudukan terikat itu kemudiannya menambah derita skuad Sanusi apabila Shahrul Idhlan menjaringkan gol ketiga pasukan mereka.

Kedudukan 3-1 tidak bertahan lama apabila Baddrol sekali lagi merapatkan jurang selepas berjaya membolosi gawang pasukan Akmal.

Sehingga tiupan wisel penamat perlawanan berkesudahan dengan jaringan 3-2 dalam perlawanan selama sejam itu.

Suasana di sekitar padang menyaksikan lebih 500 kehadiran penyokong, namun penyokong PN dilihat lebih ramai jumlahnya.

Mengulas mengenai perlawanan itu Sanusi yang juga Adun Jeneri berkata kehadiran ramai penyokong PN memberi gambaran keputusan PRK Sungai Bakap pada 6 Julai nanti.

“Di Sungai Bakap saya bermain di dalam dan di luar padang.

“Kalau boleh saksikan di keliling padang ini ada setompok saja penyokong PH, sekeliling padang ini semua (penyokong) PN, itu gambaran keputusan PRK Sungai Bakap,” katanya kepada media.

Terdahulu pasukan Akmal juga berjaya menewaskan pasukan pilihan calon PH Joohari Ariffin dengan jaringan 2-1.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS