Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelajar SPM dapat 10A ke atas layak ke matrikulasi tanpa kira kaum - PM

Kabinet telah membuat keputusan bahawa pelajar bukan Melayu yang mendapat keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 10 A dan ke atas layak melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata keputusan berani itu dicapai pada mesyuarat jemaah menteri yang berlangsung Jumaat lalu.

Bagaimanapun katanya, perincian mengenai perkara itu akan diumumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek esok.

"Kita jamin (pelajar mendapat) 10A ke atas, dari semua kaum itu kita beri kesempatan (mengikuti) program matrikulasi.

"Jadi kerajaan memutuskan semua lepasan SPM yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas tanpa mengira kaum Melayu, Cina dan India serta lain-lain harus diberikan jaminan tempat oleh kerajaan.

"Ini adalah satu keputusan berani yang dibuat Kerajaan Madani," katanya ketika berucap pada Majlis Kemuncak Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di Kuala Lumpur, hari ini.

Matrikulasi ialah program persediaan pra-universiti yang ditawarkan sebagai alternatif kepada Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Program itu menetapkan 90 peratus kuota pengambilan bumiputera, dengan baki 10 peratus terbuka kepada bukan Melayu.

Pada Nov tahun lalu, seorang penerima Anugerah Pelajaran Diraja dari Utem menyeru kerajaan melaksanakan meritokrasi dalam sistem pendidikan dan tidak meminggirkan golongan minoriti di negara ini.

Seruan itu dibuat M Nahvin dalam ucapannya ketika menerima anugerah tersebut.

Dalam ucapannya, Nahvin menceritakan dia diterima masuk ke program matrikulasi, sedangkan rakannya yang juga berketurunan India tidak diterima menyertai program berkenaaan.

Susulan itu, dua ahli parlimen penyokong kerajaan berikrar untuk terus membangkitkan isu mengenai meritokrasi dalam sistem pendidikan negara melalui peranan mereka dalam jawatankuasa parlimen mengenai pendidikan tinggi.

Sementara itu Anwar menegaskan keputusan kabinet itu bukan bermakna kerajaan pimpinannya mengenepikan agenda memartabatkan Bumiputera.

Sebaliknya katanya, kerajaan terus mempertahankan agenda Bumiputera selain memastikan kaum lain yang cemerlang mendapat akses pendidikan sewajarnya.

"Kita terus pertahankan kuota Bumiputera sedia ada...saya rasa keputusan ini akan terkait kenyataan dan mengiktiraf kecemerlangann, ini satu kelegaan.

"Ada yang kata kita teruskan dasar Bumiputera yang telah dipersetujui bersama sebelum ini...ada kata ia dasar apartheid, jangan kata begitu, ia merugikan, jangan kita rungkaikan prinsip perlembagaan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS