Paling Popular
Terkini

Minggu terakhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap akan menyaksikan tumpuan diberikan kepada pengundi Melayu atas pagar, kata Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Dia mendakwa walaupun PN sebelum ini memperoleh sekitar 75 peratus undi Melayu di kerusi itu pada pilihan raya negeri tahun lalu, jumlah itu menurun kepada 48 peratus.

“Kira-kira 30 peratus (pengundi Melayu), saya rasa lebih kurang adalah penyokong kerajaan perpaduan, jadi kita ada kira-kira 22 peratus atas pagar.

“Sebab itu dalam tempoh seminggu yang lepas, amat penting bagi calon kita dan kerajaan perpaduan dapat menyediakan pelan kerja yang boleh dipercayai dan meyakinkan untuk menangani bukan sahaja isu nasional tetapi juga perkara yang penting kepada pengundi di sini,” katanya selepas sesi walkabout di Sungai Bakap, Pulau Pinang hari ini.

Semalam, Rafizi menyifatkan kempen PN di Sungai Bakap sudah hilang punca.

Menurutnya PN terlalu tertumpu kepada isu nasional sehingga mengabaikan masalah penduduk tempatan seperti masalah bekalan air, serangan lalat, jalan rosak dan perkara lain yang lebih dekat dengan pengundi.

Kerusi DUN Sungai Bakap kosong berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff, pada 24 Mei lalu.

PRK itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH, Joohari Ariffin dan calon PN, Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 6 Julai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS