Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
TikTok padam klip Khairy cakap isu MAHB-Blackrock
Diterbitkan:  Jun 30, 2024 3:56 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Dua klip bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin membincangkan isu kontroversi berkaitan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan BlackRock telah dikeluarkan oleh TikTok kerana didakwa melanggar garis panduan komuniti platform itu.

Semakan klip yang dialih keluar daripada podcast Keluar Sekejap Khairy yang disiarkan di platform lain tidak menunjukkan sebarang pelanggaran garis panduan.

Pada salah satu klip yang ditarik keluar TikTok itu, Khairy mempersoalkan kekurangan ketelusan antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim - atas kapasitinya sebagai menteri kewangan dan pengerusi Khazanah Nasional - dalam membincangkan rancangan penjualan saham MAHB dengan kabinet.

Khairy memetik kenyataan Menteri Luar Mohamad Hasan bahawa perjanjian itu “sudah terlampau maju” untuk dibantah secara berkesan oleh menteri dalam kabinet.

Khairy berkata ini tidak menggambarkan penekanan pentadbiran hari ini terhadap tadbir urus yang baik semasa skandal 1MDB.

Khazanah mengetuai konsortium yang juga terdiri daripada syarikat berkaitan Blackrock, Global Infrastructure Partners (GIP) yang tidak lama lagi akan mengambil alih MAHB.

Anwar berkata membatalkan perjanjian dengan semua syarikat berkaitan Israel seperti Blackrock akan menjejaskan ekonomi.

GIP, yang akan memiliki 25 peratus kepentingan dalam MAHB jika pengambilalihan itu berjaya, berkata BlackRock tidak akan terlibat dalam mengendalikan pengendali lapangan terbang itu.

Sementara itu, dalam klip kedua yang dikeluarkan daripada TikTok, Khairy menyoal jika GIP benar-benar mempunyai lebih kepakaran berbanding MAHB dalam mengendalikan lapangan terbang.

Bekas ahli parlimen Rembau itu memetik bagaimana empat lapangan terbang GIP - London City, Gatwick, Edinburgh, dan Sydney - hanya mengendalikan sekitar 60 juta penumpang pada 2023, berbanding sekitar 119 juta penumpang yang menggunakan lapangan terbang MAHB.

ok

Khairy menyiarkan tentang tindakan TikTok menarik keluar klip video itu di halaman Instagramnya.

Malaysiakini cuba mendapatkan komen daripada Keluar Sekejap dan TikTok berhubung pelanggaran komuniti yang dikatakan.

TikTok mendedahkan dalam laporan bahawa antara Jun hingga Dis 2023, kerajaan Malaysia membuat jumlah permintaan alih keluar kandungan tertinggi ke platform itu.

Malaysia membuat 1,862 permintaan, diikuti Australia yang membuat 651 permintaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS