Paling Popular
Terkini

Status MyPPP dalam Barisan Nasional (BN) buat masa ini adalah antara parti gabungan dalam Friends of BN, kata Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dia berkata setakat ini terdapat 11 parti gabungan itu - termasuk MyPPP - dan BN hanya mempunyai empat parti komponen.

"Semua sama... setakat ini terdapat 11 Friends of BN dalam apa yang dipanggil sebagai parti gabungan dalam Barisan Nasional.

"Kita samakan semua... mereka (MyPPP) sebahagian daripada Friends of BN, bukan (parti) komponen.

"Parti komponen empat saja - Umno, MCA, MIC dan PBRS - sebab perlembagaan Barisan Nasional memaktubkan bahawa keputusan untuk menerima mana-mana parti mesti 'konsensus' 100 peratus... jika ada parti tidak bersetuju, maka kita tidak akan menerima," katanya dalam sidang media di Maran, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid merasmikan Mesyuarat Umno Maran di Dewan Umno Maran dekat pekan Tajau, Pahang hari ini.

Dia berkata demikian ketika ditanya mengenai status MyPPP yang sebelum ini meminta BN melayan parti itu secara bermaruah.

Pemangku Presiden MyPPP Loga Bala Mohan (gambar bawah) pada sidang media di Bentong 23 Jun lalu berkata parti itu mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam sebarang kempen BN di Sungai Bakap selepas kecewa kerana dilayan seperti tiada maruah di Kuala Kubu Bharu pada bulan lalu.

"Tidak boleh buat kita (MyPPP) macam, apabila suka ambil (manfaatkan), apabila perlu (baru) pakai... tak bolehlah.

"Mereka perlu faham, kami ada maruah, ahli kami ada maruah dan kalau kamu mahu (bantuan) kami, kami sedia bekerja, tapi datanglah jumpa, bantu kami," katanya.

Loga mendakwa tindakan BN meminggirkan MyPPP tidak adil kerana parti itu tidak pernah meninggalkan BN walaupun ketika gabungan berkenaan tewas dalam PRU 2018.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan calon daripada Umno untuk PRK Nenggiri, Ahmad Zahid yang juga presiden Umno berkata semua nama dicadangkan itu adalah berkebolehan.

"Saya fikir nama-nama yang disenarai pendek itu memenuhi kriteria terutamanya dari segi kebolehmenangan, kebolehterimaan dan tokoh yang disukai oleh pengundi tidak kira daripada parti mana.

"Saya cuma perlukan 'endorsement' dari biro politik sebelum ianya diumumkan," katanya.

Dia bagaimanapun enggan mengulas sama ada bekas ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah akan dinamakan sebagai calon untuk PRK itu.

Umno Gua Musang dalam mesyuaratnya semalam dilaporkan sudah memutuskan tiga nama untuk dipertimbangkan sebagai calon PRK Nenggiri.

Mereka ialah Ketua Pemuda Umno Kelantan merangkap Ketua Pemuda Bahagian Gua Musang, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani; Ketua Penerangan Umno Gua Musang, Amran Arifin dan Ketua Wanita Umno Gua Musang, Nor Fadzlete Aryani Mat Rosli.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS