Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aktivis PSM: Petani Kanthan disekat masuk tanah kebun
Diterbitkan:  Jun 30, 2024 3:27 PM
Dikemaskini: 7:27 AM
1

Kira-kira 100 petani di Kanthan, Chemor Perak mendapati laluan masuk ke tanah kebun mereka disekat dengan pembinaan pos pemeriksaan.

Aktivis PSM Chong Yee Shan memberitahu Malaysiakini bahawa Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) telah memasang pintu pagar yang merupakan sebahagian rancangannya untuk menyekat akses ke tanah yang dipertikaikan.

"Semalaman mereka memasang pintu pagar untuk menghalang akses mudah ke tanah itu. Selain itu, kita dapat melihat lubang besar digali di jalan tanah menyebabkan sebahagian darinya sukar dilalui.

"Para petani kini telah diberitahu bahawa mereka masih boleh memasuki kawasan itu tetapi mereka mesti mendaftar di pusat pemeriksaan dan akses hanya dari 7 pagi hingga 5 petang," kata Chong kepada Malaysiakini.

Dia mendakwa lebih 100 petani terjejas dengan tindakan terbaru itu dan mereka tidak diberi sebarang notis awal bahawa pusat pemeriksaan akan diwujudkan hari ini.

“Petani sangat bimbang kerana mereka dapat melihat jentolak dan jengkaut berhampiran ladang mereka.

"Malah sekarang masa untuk menuai hasil jadi ini kebimbangan yang lebih besar," tambahnya.

Chong berkata tanah yang dipertikaikan itu berada di dalam kawasan parlimen Perdana Menteri Anwar Ibrahim namun percubaan untuk melibatkan ahli parlimen Tambun itu atau pejabatnya dalam pertikaian berkenana tidak berjaya.

Pada Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh mengeluarkan perintah interim terhadap pengusiran enam petani Kanthan. Keputusan itu berhubung semakan kehakiman berterusan berkaitan petani.

PKNP sebaliknya merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 4 Jan tahun ini bahawa ia tidak melanggar perintah mahkamah interim dan menolak tawaran petani untuk mendapatkan kebenaran untuk memulakan prosiding menghina badan berkanun itu.

Isu itu bermula apabila 1,800 ekar tanah pertanian sayur-sayuran di Kanthan telah diberi milik kepada PKNP pada 2011-2013. Pada mulanya pajakan tanah telah dipertimbangkan, tetapi akhirnya PKNP memutuskan untuk membangunkan sebahagian besar kawasan sebagai kawasan perindustrian yang dipanggil Taman Teknologi Lembah Perak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS