Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Enam MP Bersatu kini wakil rakyat bebas, dakwa MP Bukit Gantang
Diterbitkan:  Jun 30, 2024 2:35 PM
Dikemaskini: 8:43 AM
4

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang cuba disingkirkan parti itu berkata mereka kini merupakan ahli parlimen bebas, dakwa salah seorang ahli parlimen berkenaan.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendakwa ini kerana mereka dipecat daripada parti itu, oleh itu mereka boleh mengekalkan kerusi masing-masing.

Dalam satu kenyataan hari ini, Syed Abu Hussin berkata mereka telah menulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul untuk menjelaskan kedudukan mereka.

"Kami percaya beliau akan menggunakan sepenuh kebijaksanaan untuk membuat keputusan (Ruling) bahawa notis yang dihantar oleh Parti Bbersatu itu telah mengesahkan bahawa kami telah dipecat secara rasmi dan kini menjadi Ahli Dewan Rakyat bebas serta tindakan Parti Bersatu memecat saya itu tidak menghentikan kedudukan saya selaku Ahli Dewan Rakyat yang mewajarkan saya untuk mengosongkan kerusi," katanya.

Di bawah undang-undang anti-lompat parti, seseorang Ahli Parlimen kehilangan kerusi jika mereka melepaskan keanggotaan parti mereka atau menyertai parti lain.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen yang dipecat boleh mengekalkan kerusi mereka.

Bersatu berkata enam pemipin berkenaan yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim - telah digugurkan keahlian mereka selepas melanggar peraturan parti dengan gagal mematuhi arahan.

Selain Syed Abu Hussin, lima ahli parlimen berkenaan ialah Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Dewan Rakyat bersidang pada Isnin. Namun Johari masih belum membuat sebarang keputusan.

Sementara itu dalam sidang media hari ini, Syed Abu Hussin berkata speaker berkemungkinan mengambil masa untuk meneliti surat yang dihantar kepadanya sebelum membuat keputusan.

Dia juga menegaskan enam wakil rakyat itu tidak melanggar perlembagaan Bersatu apabila mengistiharkan sokongan terhadap Anwar.

"Sepanjang kami menyokong kerajaan perdana menteri, PMX kami tak pernah katakan kami bukan ahli parti Bersatu, tak pernah.

"Dan kami tidak pernah buat apa-apa poster yang menunjukkan kami bukan ahli Bersatu. Kami tidak menentang perlembagaan parti, kami tidak menentang prinsip parti," ujarnya.

Bagaimanapun, Syed Abu Hussin berkata dia sedia mempertahankan kerusi disandangnya jika pilihan raya kecil diadakan.

"Saya mempunyai keyakinan penuh setelah saya membaca detailnya kemungkinannya kita tak tahu, tapi kalau ada PRK saya sedia untuk mempertahankan (kerusi)," jelasnya.

Syed Abu Husin pertama kali memenangi kerusi Bukit Gantang di bawah tiket BN pada 2018.

Bagaimanapun, dia keluar Umno pada tahun yang sama, dan kemudian menyertai Bersatu sebelum memenangi kerusi itu untuk penggal kedua pada 2022.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
4
ADS