Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Larian Syed Saddiq raih lebih RM100,000
Diterbitkan:  Jun 30, 2024 1:21 PM
Dikemaskini: 5:23 AM
4

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah menamatkan lebih separuh larian sejauh 200km dari kawasan yang diwakilinya ke bangunan parlimen di Kuala Lumpur.

Memulakan lariannya pada Jumaat (28 Jun), Syed Saddiq tiba di Beranang, Selangor, sekitar jam 11:45 pagi hari ini.

"Lebih kurang 80km lagi sebelum saya sampai di parlimen.

"Hari ini akan jadi lebih mencabar dari sebelum ini," katanya pad ahantaran di X.

Bekas presiden Muda itu memulakan kempen “Langkah Muar” bagi membantah kegagalan kerajaan memperuntukkan dana ke kawasan ahli parlimen pembangkang.

Syed Saddiq melahirkan kebimbangan terhadap kekurangan peruntukan bagi kawasan yang dikuasai pembangkang, berkata kawasan wakil rakyat kerajaan menerima RM20 juta.

Dia berkata tiada perkembangan mengenai isu itu walaupun usaha, termasuk pertemuan dengan timbalan perdana menteri dan beberapa surat telah diutus.

Dalam pada itu, Syed Saddiq mengumumkan lariannya itu telah mengumpul RM101,006 dalam tempoh kurang dari 48 jam.

"Alhamdulillah. Saya terhutang budi kepada semua.

"Lagi ditekan, lagi ramai yang berkawan.

"Sakit macam mana pun, saya tidak akan berhenti.

"Kini, saya dah lari 124km. Sikit saja lagi," katanya.

Dia akan berlari sejauh 25km lagi pada sebelah malam dan menjangkakan sampai ke garisan penamat sekitar jam 8:30 pagi esok.

Dia juga dijangka mengadakan sidang media selepas menamatkan kempen meraih dana melalui lariannya itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
4
ADS