mk-logo
Berita

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan terpaksa membuat pilihan yang sukar antara menaik taraf lapangan terbang dan membiayai perkhidmatan penting seperti sekolah dan hospital.

"Kalau saya bagi lapangan terbang katalah kita habis RM2 ke RM3 billion setahun, saya kena potong (peruntukan) sekolah, satu sekolah RM40 ke RM50 juta, satu hospital RM500 juta.

"Kalau naik taraf satu lapangan terbang atau buat yang baru habis RM2 bilion, maknanya aku kena potong (peruntukan) empat hospital.

"Jadi kalau saudara saudari jadi saya, pilih lapangan terbang ke pilih hospital? Pilih hospital lah," kata Rafizi ketika berucap pada majlis ceramah kempen PH malam tadi di Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Menteri itu membangkitkan isu pengurusan lapangan terbang di Malaysia yang telah lama berlarutan, membandingkan dengan negara lain.

Rafizi memberi contoh Lapangan Terbang Changi Singapura, dengan pengendali bertanggungjawab bagi kedua-dua operasi harian dan naik taraf kemudahan.

Katanya Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dari segi sejarah hanya menguruskan operasi dan kerajaan yang membiayai pembesaran dan naik taraf lapangan terbang.

"Tiap-tiap tahun mesti ada permintaan nak buat lapangan terbang baru, mesti ada permintaan nak naik taraf lapangan terbang.

"Satu naik taraf selalunya RM3 billion, RM2 billion, kalau lapangan terbang kecil pun, RM700 juta. Mana kita nak ambil duit ni? Siapa nak bayar ni," soal Rafizi.

Menteri itu mengulas cadangan penjualan sebahagian daripada kepentingan MAHB melalui konsortium yang bertujuan untuk meningkatkan keupayaan untuk menaik taraf dan membina lapangan terbang tanpa hanya bergantung kepada dana kerajaan.

Bagaimanapun, pembangkang lantang membantah keputusan kerajaan itu.

Kontroversi itu tercetus pada 15 Mei, apabila Khazanah Nasional Berhad mengumumkan bahawa Abu Dhabi Investment Authority dan Global Infrastructure Partners (GIP) - melalui GIP Aurea Pte Ltd - akan membentuk konsortium untuk mengambil alih saham pengendali lapangan terbang itu.

Keputusan itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak selepas didapati Blackrock, sebuah syarikat yang dianggap berkaitan dengan Israel, sedang mengambil alih saham GIP.

Sementara itu, Rafizi menjawab kebimbangan pembangkang berhubung potensi pinjaman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Tegasnya, bantuan kewangan seperti itu hanya dicari oleh negara yang menghadapi kejatuhan ekonomi yang akan berlaku.

"IMF adalah institusi kewangan pilihan terakhir. Anda hanya mendekati IMF untuk pinjaman selepas kehabisan semua pilihan lain dan tidak mampu membayar balik hutang sedia ada," katanya.

‘Pembangkang jangan asyik main TikTok’

Rafizi seterusnya menjelaskan syarat-syarat ketat terhadap negara-negara mendapatkan bantuan IMF.

Menteri ekonomi itu juga berkata pinjaman sedemikian tidak disediakan secara sembarangan dan hanya dipertimbangkan untuk negara-negara yang menghadapi masalah kewangan yang teruk.

"Adakah kita di dah nak bankrap? Adakah kita tidak mampu menjelaskan pinjaman kita," soalnya.

Rafizi mengecam pembangkang kerana kurang memahami dasar kewangan, secara sindir berkata mereka sepatutnya memberi perhatian di sekolah daripada bermain TikTok.

Sebelum ini, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menyoal jika terdapat potensi kaitan antara pengurangan subsidi kerajaan dan pinjaman IMF pada masa depan.

"Saya tidak menuduh. Saya hanya bertanya. Cuba jawab," katanya ketika berucap pada majlis ceramah PN.

Kempen pilihan raya kecil Sungai Bakap sedang berlangsung, dengan calon PH Dr Joohari Ariffin bersaing dengan calon PN Abidin Ismail bagi merebut kerusi DUN itu.

Pengundian dijadualkan berlangsung pada 6 Julai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS