Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saifuddin: Himpunan anti-PM tak jejas kempen PRK
Diterbitkan:  Jun 30, 2024 9:01 AM
Dikemaskini: 1:03 AM

“Ini adalah bukti segala-galanya bahawa kerajaan Malaysia di bawah teraju Anwar Ibrahim dan pendekatan Madani membuka (ruang) atau menghormati hak setiap rakyat, walaupun beliau dimaki hamun.”

Penganjuran himpunan "Rakyat Tolak Anwar" di Putrajaya semalam tidak akan menjejaskan ‘mood’ kempen jentera Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Sebaliknya, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penganjuran himpunan itu membuktikan bahawa Malaysia adalah negara yang menghormati hak orang ramai untuk berhimpun secara aman serta menegur dan mengkritik pemerintah.

Beliau berkata ia juga memberikan gambaran bahawa sesiapa pun berpeluang untuk bersuara tanpa diganggu-gugat.

“Kebebasan yang mereka nikmati hari ini adalah bukti segala-galanya bahawa kerajaan Malaysia di bawah teraju (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pendekatan Madani membuka (peluang) atau menghormati hak setiap rakyat, walaupun beliau dimaki hamun,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Xpresi Generasi Kita: Solidariti Bersama Dadah anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Sungai Bakap di Nibong Tebal malam tadi.

Petang semalam, kira-kira 250 peserta berbaju hitam berhimpun di kawasan letak kenderaan pekarangan Kompleks Seri Perdana bagi mengemukakan lapan tuntutan kepada kerajaan, antaranya menuntut subsidi diesel dikembalikan serta tidak menaikkan harga petrol RON95 dan gas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS