Paling Popular
Terkini

PRK SG BAKAP | Ketika PN rancak menghentam kerajaan persekutuan dengan isu air sebagai naratif kempennya, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli tampil 'memulangkan paku buah keras' kepada rakan sejawatanya daripada PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menteri ekonomi itu membalas serangan pembangkang berkaitan isu bekalan air di Sungai Bakap dengan mempersoalkan mengapa timbalan presiden PAS itu mengabaikan masalah itu ketika menjadi menteri air dan alam sekitar ketika PN mentadbir negara selama 33 bulan.

"Cuba kita tanya yang menjadi menteri air dulu ini siapa? Bukan PH, bukan BN, bukan kita daripada kerajaan Madani. Menteri air ini Tuan Ibrahim Tuan Man, jadi kalau kita tahu yang Sungai Bakap ini yang dijadikan isu suruh lawan kerajaan kerana calon kita kononnya masalah air tak diselesaikan, itu masalah engkaulah dulu kau menteri air.

"Sebab sekarang kita tahu seperti diumumkan berkali-kali masalah air di Sungai Bakap sahaja, ini masalah Utara Semenanjung, sebab air bukan saja soal paip, masalahnya sumber air dah tak ada. Orang makin bertambah, kilang makin banyak, apabila orang makin banyak, sungai sebanyak itu saja.

"Mana ada sungai beranak, semakin lama semakin cetek dan mendap, memanglah kebiasaannya mana-mana kalau orang semakin ramai, sungai makin cetek air kurang, tambah pula (cuaca) semakin panas.

"Jadi isunya semasa kita jadi pembangkang memang kita tak tahu, bukan kerja aku. Semasa itu kita duduk kejar segala yang rasuah semua ini, yang bertanggungjawab merancang dan yang ada maklumat adalah Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Kamu tahu bahawa Pulau Pinang tak cukup sumber air, kamu tahu Perak utara tak cukup sumber air, kamu ada kuasa apa kamu buat semasa jadi menteri air," soalnya ketika berceramah di Kampung Padang lalang, Simpang Ampat, malam tadi.

Turut hadir calon PH Joohari Ariffin, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Untuk rekod pada Julai lalu kerajaan dilaporkan bersetuju menyalurkan peruntukan bagi projek penyaluran air di Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah yang sebahagiannya akan digunakan untuk pembekalan air terawat ke Pulau Pinang.

Ia akan disalurkan melalui projek pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) yang melibatkan kawasan seluas 1,000 ekar dengan anggaran peruntukan RM4 bilion.

Rafizi berkata masalah itu gagal diselesaikan ketika PN menjadi kerajaan walaupun mempunyai maklumat, tanggungjawab dan kuasa.

Sebaliknya kata menteri itu kerajaan Madani mengambil langkah awal ketika melihat keseluruhan masalah air di seluruh Malaysia.

"Jadi kalau PN jadi kerajaan persekutuan 33 bulan, kalau dia dah buat keputusan dulu lagi (selesai). Hutang dia berhutang, wang dia ambil tapi kita tak nampak pergi mana wang itu dan dia sebagai menteri air sampai ke sudah tak selesaikan masalah itu.

"Tak sampai satu tahun kerajaan Madani ambil alih tanpa ada PRK Sungai Bakap pun, Anwar Ibrahim suruh, jadi saya kena ikut. Ini dah berlaku lama dah saya ingat awal tahun lagi semasa kita melihat keseluruhan masalah air di Malaysia, yang bising di Kelantan pun kita sedang selesaikan, yang tak bising sangat di utara tapi berlaku pun kita dah buat peruntukan.

"Jadi saya nak tanya Tuan Ibrahim, kau orang semasa jadi kerajaan yang kawal duit banyak peruntukan untuk Jana Wibawa, kenapa kamu menteri air tak tolong penduduk di sini, sekarang baru nak datang jadi penghasut?" katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS