Paling Popular
Terkini
3

KOLUM | Satu soalan yang perlu ditanyakan ketika ini: adakah Malaysia benar-benar negara berdaulat?

Atau sebenarnya kita cuma hidup di dalam sistem yang membolehkan negara ini kelihatan berdaulat, namun sebenarnya ia longgar apabila wujud tangan-tangan ghaib yang tahu cara memintas prosedur permohonan kewarganegaraan?

Soalan ini muncul dari sidang media FAM yang kononnya mahu menjernihkan keadaan tetapi berakhir dengan terbongkarnya realiti ‘tembok’ kedaulatan negara – dan sudah tentu ia berbahaya.

Sidang media itu juga menanggalkan selapis demi selapis tabir yang selama ini melitupi pelbagai tanda tanya yang bermain di dalam fikiran kita. Ia berlaku ketika pihak yang berkenaan membuat pengakuan terbuka tentang sejauh mana negara ini boleh mempermainkan maruahnya sendiri.

Di hadapan seluruh rakyat Malaysia, peguam sukan antarabangsa yang dilantik FAM, Serge Vittoz, mengakui wujud dua versi sijil kelahiran datuk atau nenek kepada pemain-pemain yang kita anggap mempunyai pertalian dengan negara ini.

Satu, sijil kelahiran dari luar Malaysia; dan satu lagi, yang disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Lebih menyakitkan hati, nada keyakinan yang dihantar dari sidang media itu seolah-olah mahu menormalkan percanggahan tersebut. Mereka seolah-olah mahu memberitahu kita bahawa tidak mengapa apabila “dokumen itu mematuhi sistem tempatan” meskipun pada masa sama ia jelas berbeza daripada sijil kelahiran dari negara asal.

Dengan kata lain, dalam negara ini dibolehkan wujud rakyat yang mempunyai dua versi dokumen pengenalan diri rasmi. Maknanya, negara kita ini terbuka kepada kemungkinan pemalsuan identiti.

Pada masa sama FAM cuba memposisikan diri mereka sebagai “mangsa sistem”.

Banyak ada kecuali satu

Akhirnya kita dimaklumkan bahawa rayuan mereka kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) bukanlah untuk menafikan tuduhan pemalsuan dokumen. FAM mengalihkan liabiliti air muka rakyat negara ini kepada “individu tertentu”.

Namun persoalan asasnya adalah mudah: siapa individu itu, dan bagaimana dia boleh begitu mudah melangkau semakan ketat kerajaan? Dalam sebarang sistem yang berfungsi, tiada pihak boleh menyerahkan dokumen kepada Fifa tanpa pengesahan institusi rasmi negara.

Kenyataan FAM itu seolah-olah mahu menyampaikan mesej: “Ya, memang ada penipuan, tapi bukan kami yang salah.”

Hakikatnya, jika benar dokumen palsu itu diterima dalam sistem rasmi, maka kesalahan bukan lagi terletak pada seseorang individu, sebaliknya beban tersebut terpikup pada institusi negara.

Kemudian muncul pula Rob Friend – ketua pegawai eksekutif kepada sebuah entiti yang diberi nama National Team (NT). Dia berbangga bahawa pasukan kebangsaan kini diurus secara “profesional” oleh barisan pakar dari pelbagai bidang.

Ada pengarah kesukanan, ada pakar perubatan sukan, ada pakar nutrisi, pakar pemulihan, pakar prestasi, pakar psikologi sukan dan pakar data analitik.

Pendek kata, mereka punya kepakaran dalam segala hal – kecuali pakar yang boleh mengenal pasti sesebuah dokumen itu palsu atau tulen.

Sewaktu mereka mengaku mencari pool of players berdarah Malaysia di luar negara yang katanya ada 20 hingga 30 orang semuanya, seluruh usaha itu dijulang sebagai bukti kehebatan profesionalisme moden bola sepak negara.

Namun apabila krisis meletup, Rob Friend dengan selamba menolak tanggungjawab dan menghumban pihak lain ke bawah bas apabila berkata: “Dokumen bukan urusan kami, itu urusan FAM”.

Sikap seperti itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah memperlihatkan kesombongan dalam selamba.

Mereka mahukan pujian apabila pasukan berjaya, tapi sekadar mencuci tangan ketika skandal besar seperti sekarang ini muncul. Sedangkan tanpa “entiti” mereka, tujuh pemain terbabit tidak pernah wujud pun dalam radar bola sepak Malaysia.

Persoalan besar tak terjawab

Apa yang lebih memualkan, sepanjang sidang media itu Rob Friend lebih sibuk memuji “kepimpinan dan visi tertinggi bola sepak negara” berbanding menjelaskan isu dokumen yang dipersoalkan.

Gaya sebegitu bukanlah luar biasa dalam ekosistem bola sepak tempatan. Kita hidup dalam budaya keberanian menegur orang atasan sudah digantikan dengan keghairahan memuji serta menjilat.

Apabila berlaku krisis, selalunya orang di atas disucikan, manakala kesalahan ditujukan kepada orang di bawah. Mereka dihukum untuk menjadi kambing hitam.

JPN di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) ialah penjaga tunggal kepada identiti rasmi rakyat negara ini.

Semua sijil kelahiran, kad pengenalan dan dokumen kewarganegaraan mesti melalui semakan rentas agensi, termasuk dengan negara asal tujuh pemain terbabit.

Namun dalam kes pemain warisan, pengakuan FAM sendiri menunjukkan semakan itu tidak dibuat. Sijil kelahiran luar dan dokumen versi Malaysia tidak sepadan, tetapi tetap disahkan untuk tujuan pendaftaran pemain.

Persoalan besar kini bukan sekadar siapa memalsukan dokumen – jika ia benar palsu – tetapi siapa yang memberi arahan untuk melangkau prosedur semakan antarabangsa.

Apakah kesipuan yang ditimpakan ke atas negara ini berlaku atas desakan atau tekanan mana-mana pihak yang berkepentingan?

Apabila prosedur rasmi keselamatan negara boleh dilangkau, bermakna kedaulatan negara telah dilacurkan.

Krisis ini bukan salah FAM semata-mata. Ia mendedahkan betapa rapuhnya kawalan kerajaan terhadap integriti dokumen rasmi kebangsaan. Sistem yang sepatutnya mempertahankan kebenaran kini menjadi lorong belakang untuk dimanipulasi demi prestij dan keuntungan imej.

Apa yang berlaku sebenarnya lebih dahsyat daripada sekadar kesilapan teknikal. Ia memperlihatkan bagaimana kedaulatan negara dikhianati apabila dokumen palsu disahkan oleh sistem rasmi sendiri.

Di luar Wisma FAM, gerakan sivil seperti Buku Jalanan Chow Kit, Borneo Komrad dan Cahaya Society memerhati dan menyoal keutamaan negara ini dalam soal kewarganegaraan.

Mengapa kerajaan boleh memproses dokumen pemain luar dengan begitu pantas, sedangkan ribuan kanak-kanak yang lahir di negara ini masih hidup tanpa identiti sehingga hak asasi mereka sebagai seorang warganegara – seperti akses kepada pendidikan, kesihatan dan perlindungan – dinafikan?

Ironinya, situasi ini mengulang kembali artikel yang pernah aku tulis tentang si Bilkuin – anak Bajau Laut yang mahu menjadi atlet negara tapi hasratnya terkandas kerana ketiadaan dokumen.

Krisis ini menuntut pembaharuan bukan hanya buat FAM, tapi audit dan siasatan menyeluruh juga harus dilaksanakan terhadap JPN.

FAM mungkin boleh merayu kepada Fifa, tetapi siapa yang akan memulihkan kedaulatan negara yang sudah tergadai?


NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
3
ADS