Paling Popular
Terkini

KOLUM | Kata Pak Chat, ‘kisah’ ini berlaku lama dahulu. Ia sebuah kisah yang sudah dilupakan hatta oleh orang negeri Indera Kayangan sekalipun. Kisah itu kononnya berlaku entah 100, entah 1,000 tahun yang lampau.

Kata Pak Chat lagi, kisahnya bermula begini:  Arakian tersebutlah kisah di suatu petang. Maka diceritakan oleh orang bahawa seorang raja terasa ingin bersenam. Lalu, setelah siap berbusana sukan, raja pun mula berjoging. Untuk perspektif yang lebih jelas, raja itu memulakan senamannya di Arau.

Setelah berlari-lari anak beberapa ketika, sang raja itu pun berasa dahaga. Tidak semena-mena, matanya terpandang sebuah warung yang menjual air tebu. Lalu dimintanya segelas untuk menghilangkan dahaga yang tiba-tiba melanda.

Setelah habis diminum dan mengucapkan terima kasih, sang raja pun ingin segera menyambung sesi senamannya. Namun, dia dihentikan oleh peniaga air tebu berkenaan yang segera menghulurkan tangan meminta bayaran.

“Segelas air tebu buat penghilang haus pengembara itu maharnya sekupang,” kata tuan punya warung dengan penuh sastera.

Sang raja memandang kepada si peniaga dan dengan nada belas berkata, “Amboiiii hang... dengan raja sendiri pun mintak bayaq noo…?”

Si peniaga duduk dengan tenang. Matanya tidak diangkat melainkan memandang kedua-dua tangannya yang sedang ralit menggulung rokok daun nipah, lalu berkata: “Ini Kodiang, Tuanku...”

Pak Chat berhenti di situ dan ketawa kuat. Kami diam sahaja. Senyum pun tidak. Kata orang, ini jenaka tahap tinggi, dan mungkin mereka benar.

Namun, sebagai peminat nombor satu Salleh Yaacob, kami memandang sepi lawak seperti itu.

Bimbang kecundang ke bendang

Kami ke Perlis baru-baru ini dan yaaaaa salammmm. Punyalah panas negeri itu, kamu akan sangka ia adalah negeri yang dimurkai Tuhan.

Kami bukanlah putih sangat, namun sekembalinya kami dari negeri tersebut, ketika menghulurkan tangan untuk bersalam, Mok menarik jarinya kembali kerana tidak mengenali kami.

Habis terbakar kulit gebu kami. Belas gamaknya hati Mok melihat kami seburuk itu.

Mungkin orang seperti Maza boleh menarik balik kenyataannya mengenai kebakaran di Amerika sana dan mula mencari sebab mengapa negeri yang duduk dalam zon iklim Khatulistiwa boleh sepanas itu.

Dan lagi, yang paling kami tidak faham ialah bagaimana orang Perlis boleh dengan senang-lenang memandu kereta di jalan-jalan yang dibina di antara petak-petak sawah padi.

Rumah pula dibuat di tengah-tengah bendang hanya kerana ia cantik apabila difoto dan dipaparkan di Instagram.

Jenis mudah dipengaruhi media sosial.

Jalannya kecil dan bengkang-bengkok, dan jika ditakdirkan kamu bertembung dengan mana-mana kereta ketika sedang asyik mengulit laluan tersebut, maka berdoalah agar mereka memberi laluan.

Jika tidak, bersedialah mengundur dan berharap kamu tidak kecundang ke dalam sawah itu.

Kami rasa orang Perlis semuanya menyangka kita ini jenis stuntman macam mereka. Bawa kereta atau motor atas batas padi sambil makan mangga harumanis.

Mujur kopi di Balbuk Haus adalah antara kopi yang paling sedap yang pernah kami nikmati.

“Balik Bukit,” kata Ali Adenan - atau mungkin juga Omorq Iwan - ketika menerangkan maksud perkataan Balbuk itu. Sebelumnya, kami menyangka ia adalah perkataan dari bahasa Suluk.

Penulis tapi ‘malas’

Maklum saja, Arafat Hambali yang mengendalikan kolektif tersebut ada hubungan sebelah isterinya dengan suku tersebut.

Arafat ini ingat dia P Ramlee. Suka-suka mencipta perkataan dan diikut orang. Dan yang paling menyakitkan hati, dia mempotretkan dirinya sebagai seorang penulis - atau lebih tepat, seorang sasterawan.

Jika kamu sangka kami tidak berkata benar, nanti jika kamu ada rezeki ke Balik Bukit, kamu minta menunya dan kamu akan temui patah-patah perkataan yang dipatahkannya.

Ada rempong, suwir, dan beberapa perkataan lain yang kami tidak endah untuk mengingatinya.

Mengenai haus pada nama kolektif tersebut, kami kurang arif. Apakah ia bermaksud dahaga kerana kolektif ini juga menyediakan sedikit minuman dan makanan kepada sesiapa yang sudi datang. Atau jika haus itu adalah house yang dimelayukan.

Maka kami katakan kepada Arafat, “Berdosa hang ni...”

Menjadi penulis tetapi malas menulis penuh satu-satu perkataan adalah perbuatan yang maha zalim.

Cuma, seperti yang kami katakan sebelum ini, kalaulah berdosa sembahyang Subuh tanpa membaca qunut, maka segala dosa tersebut terhapus sebaik sahaja kami menikmati kopi di Balbuk Haus.

Kami bukan pakar kopi. Kami tidak tahu kopi campur apa jadi apa misalnya. Namun, kopi di Balbuk Haus sangat serasi dengan selera kami.

Pilihan buat penduduk setempat

Ada bermacam-macam jenis yang disediakan, tetapi kami lupa semua nama dan campurannya. Dan sekali lagi, kami akan katakan bahawa kopi Balbuk adalah kopi yang paling lazat yang pernah kami minum.

Kami juga dihidangkan dengan beberapa jenis makanan tetapi kerana masih kenyang, kami tidak menjamah hidangan yang disediakan.

Pun begitu, kami agak terliur dengan sejenis manisan yang dibawa. Sejenis pisang yang dibakar dan disalut dengan kacang tanah.

Nanti, jika masih ada rezeki untuk ke sana, kami akan datang dengan perut kosong.

Balbuk Haus juga merupakan nafas baru segala macam acara seni kepada Perlis. Arafat - yang dikenali sebagai peminat tegar Pak Samad Said, sasterawan negara itu - tidak jemu-jemu mengadakan pertemuan penulis serta beberapa sesi pembacaan dan persembahan seni.

Di sana juga diadakan pameran-pameran karya seni, sementelah pula Arafat sendiri adalah graduan seni halus dari UiTM.

Malah, Balbuk Haus itu sendiri pernah memasuki saringan akhir Bakat Muda Sezaman anjuran Balai Seni Negara. Ia kemudian dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Karya Paling Popular.

Arafat bersama sahabatnya, Pak Lang - yakni seorang pemuda yang mengaku punk tetapi suka memikat burung ketitir - berusaha semampu mungkin untuk memberikan pilihan lain kepada penduduk setempat.

Idea-idea yang datang daripada mereka, jika diberikan sokongan yang betul, akan membuahkan hasil yang lebih harum daripada mangga yang mahal tak tentu hala itu.

Balbuk Haus tidak seharusnya dibiarkan terus terselindung di sebalik bongkah batu yang menjadi latar belakang kolektif tersebut.

Tapi itulah, padahal elok saja jika digelar sebagai Sanggar Balik Bukit, misalnya.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan penggemar minuman lemon campur madu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS